Ahad, 3 April 2016

Bendung hadis palsu, elak seleweng akidah

Bendung hadis palsu, elak seleweng akidah
 
 
Rozaimi (dua, kanan) semasa melancarkan buku tulisannya Hadis Palsu dan Daif Popular, semasa Pesta Buku Kelantan 2016, semalam.
 
KOTA BHARU - Penyebaran hadis palsu menerusi laman sosial perlu dibendung segera bagi mengelakkan umat Islam mudah percaya sekaligus menyeleweng akidah mereka.

Ini kerana, masyarakat hari ini dilihat mudah berkongsi mengenai sesuatu perkara di laman sosial, kononnya berdasarkan 'hadis' yang disebarkan itu, tanpa menyedari ia hadis palsu dan banyak khilafnya.

Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr Rozaimi Ramle berkata, viral mengenai hadis kononnya sahih itu boleh mengelirukan pembaca terutama golongan muda yang masih belajar mengenai akidah asas dalam Islam.

“Penyebaran hadis palsu menerusi Facebook dan WhatsApps semakin serius dan menjadi viral, sebab itulah kita perlu buat pembetulan kerana ia boleh menyeleweng akidah umat Islam.

“Kadang-kadang hadis palsu ini seolah-olah kelakar, contohnya: "ALLAH Taala mencipta zat Dia, dia cipta kuda dahulu, kemudian Dia jadikan kuda itu berlari, kuda itu berpeluh dan daripada peluh itu dijadikan zat,". Kalau kita percaya, boleh kufur akidah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran buku yang ditulisnya, Hadis Palsu dan Daif Popular yang dilancarkan Pensyarah Jabatan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dan Pendakwah Bebas, Dr Abdul Basit (Abu Anas Madani) serta turut hadiri Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah di Pesta Buku Kelantan 2016, semalam.

Rozaimi berkata, dalam suasana anak muda pada masa kini yang gemar menggunakan laman sosial mendapatkan maklumat, sekiranya tiada pembersihan dan pembetulan, dikhuatiri perkara tersebut makin memudaratkan.

“Orang yang mereka hadis palsu akan menjadi ‘syok’ jika tiada orang membuat pembetulan, jadi kita perlukan pakar untuk sahihkan hadis berkenaan,'' katanya.


Tiada ulasan: