Isnin, 25 April 2016

Awang Tengah menang tanpa bertanding, PKR-DAP bertembung di beberapa kerusi

MALAYSIAKINI




P'RAYA S'WAK | BLOG LANGSUNG HARI 1 Pilihan raya bagi Bumi Kenyalang bermula secara rasmi hari ini, dengan proses pencalonan bermula jam 9 pagi ini.

Sejumlah 82 kerusi kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan, termasuk 11 kerusi baru ekoran pelaksanaan proses terbaru persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Bagi Pakatan Harapan, nampaknya proses pembahagian kerusi belum dapat diselesai, selepas PKR menggesa diadakan rundingan semula pada saat-saat akhir semalam.

Ia selepas tersebar berita bahawa pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mungkin menandatangani surat yang didakwa dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali yang memberi kuasa wakil PKR untuk bertanding di Tasik Biru, Mambong, Simanggang, Bukit Semuja dan Mulu.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam reaksi balasnya menegaskan bahawa mereka akan bertanding di Batu Kitang sekiranya PKR meletakkan calonnya di kelima-lima kerusi berkenaan.

Begitu juga dengan BN, dengan SUPP, UPP dan SPDP dan TERAS dijangka bertembung dalam gelanggang di Tasik Biru, Batu Kawah dan Bawang Assan.

Parti-parti yang bertanding mempunyai masa sehingga jam 10 pagi ini untuk mengemukakan pencalonan mereka. Rakyat Sarawak akan keluar mengundi pada 7 Mei ini.

Ikuti BLOG LANGSUNG dengan pasukan petugas Malaysiakini membawa berita terkini dari Sarawak.

10.52am - Muara Tuang: Calon-calon dari PAS dan parti serpihannya AMANAH akan bertembung di Muara Tuang. Mereka akan berdepan dengan calon BN dalam persaingan tiga penjuru, laporan Bernama.

10.43am - Bukit Sari: Calon BN Datuk Awang Tengah Ali Hassan menang DUN Bukit Sari tanpa bertanding, lapor Bernama.

10.11am - Sibu: Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata dia turut dilarang masuk ke Sarawak.

Dalam satu kenyataan, Shazni berkata dia tiba di lapangan terbang Sibu pada jam 7.57 dan diberitahu namanya ada dalam senarai larangan itu dan diminta pulang ke Semenanjung..

10am: Proses penamaan calon ditutup bagi pilihan raya negeri Sarawak.
 
9.50am - Dewan Perbanaran Padawan, Kuching: Petugas DAP berkata calonnya bagi Batu Kitang, Abdul Aziz Isa menunggu dalam kenderaan sehingga jam 9.15 pagi sebelum turun untuk menyerahkan borang pencalonannya, selepas mendapat tahu yang PKR akan bertanding di Serian bersama DAP.

9.45am - Bau: Walaupun wujud pertikaian mengenai pencalonan antara penyandang Peter Nansian (TERAS) dan pengganti Henry Jinep (BN-SPDP), Nansian memaparkan perpaduan BN dengan hadir menyokong Jinep di Dewan Suarah Bau, pusat penamaan calon bagi Tasik Biru.



"Ya. Saya berada di sini untuk menyokong BN," Nansian memberitahu pemberita di tengah-tengah 600 penyokong BN yang mengebarkan bendera BN, SPDP dan PRS sambil melaungkan "Hidup BN".

9.35am - Marudi: Proses penamaan calon sedang berjalan di tiga lokasi berasingan di bandar Marudi, di mana satu daripadanya di bawah kawasan Parlimen Baram.

Di luar tiga lokasi itu, keadaan adalah tenang selain daripada sedikit bunyi bising dan sesekali bunyi pesawat terbang dari landasan kapal terbang Marudi yang berdekatan.

Terdapat lebih seratus penyokong PKR menunggu di luar pusat penamaan calon masing-masing - di Marudi, Telang Usan, dan Mulu.

Bagaimanapun, jumlah mereka tidak seramai penyokong BN di setiap lokasi tersebut.

Sementara itu di luar Dewan Suarah di mana proses penamaan bagi kerusi Mulu yang sedang berjalan, kira-kira 100 penyokong calon DAP Paul Raja turut hadir dan menunggu.

Mulu dijangka menyaksikan saingan empat penjuru antara beliau, calon PKR Paul Baya, calon BN Gerawat Gala, dan calon bebas Dr Roland Dom Mattu.

Pertandingan tiga penjuru juga dijangka berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri Marudi, antara calon PKR Elia Bit, calonn BN Penguang Manggil, dan calon Bebas Louis Jalong

Di pusat penamaan calon bagi kerusi Telang Usan, ia dijangka menyaksikan pertembungan antara calon PKR yang juga veteran kempen anti Empangan Baram, Roland Engan dengan calon ADUN penyandang dari BN, Dennis Ngau.

Pencalonan akan ditutup pada pukul 10 pagi, di mana pegawai pengurus akan membuat pengumuman rasmi.

9.32am - Bukit Assek, Sibu: Tiga calon, Cheng Buong Toon (SUPP), Irene Chang (DAP) dan Moh Hong King (Star) memasuki pusat penamaan calon.

Mereka menyerahkan borang pencalonan kepada para pegawai SPR, manakala pegawai-pegawai berkenaan menjelaskan peraturan pilihan raya dan berbual dengan mereka untuk meredakan ketegangan.

Ini adalah kali kedua Cheng dari SUPP bertanding di kerusi majoriti kaum Cina itu, selepas dia tewas kepada mendiang suami Chang yang juga bekas pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng dengan majoriti lebih 1800 undi pada 2011.

Setengah jam sejak proses penamaan calon bermula, segala-galanya berjalan lancar dan tidak ada calon lain yang dilihat datang di Perpustakaan Awam Sibu, di mana terletaknya pusat penamaan calon itu.

9.30am - Kuching: DAP bertindak balas terhadap PKR dengan menghantar calon Abdul Aziz Isa untuk bertanding di Batu Kitang, kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada PKR.

Ini selepas PKR membenarkan lima calonnya untuk bertanding bagi kerusi di mana calon-calon DAP bersedia untuk bertanding.

Batu Kitang dijangka menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru antara SUPP, PKR, DAP dan mungkin dua calon bebas.

Voon Shiak Ni mewakili PKR manakala Lo Khere Chiang mewakili SUPP.

9.15am - Miri: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengiringi calon parti itu, Jofri Jaraiee.

Beliau dilihat bergandingan tangan dengan pemimpin lain parti itu ketika berarak ke pusat penamaan calon.

9.07am - Ba'kelalan: Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mengesahkan bakal calon parti itu di lima kerusi yang menghadapi pertikaian pembahagiannya, telah menerima surat kuasa dari parti itu untuk bertanding.

"Mereka berada di kawasan masing-masing iaitu Mulu, Mambong, Simanggang, Ngemah dan Murum," katanya kepada Malaysiakini melalui telefon.

"Sebelum pukul 10 pagi, kami akan menghubungi mereka untuk memberitahu mereka sama ada akan bertanding atau tidak".

9.05am - Bawang Assan, Sibu: Beng Kor, calon bebas, tiba di pusat penamaan calon Dewan Suarah Sibu bersama penyokongnya.

8.50am - Bau: calon DAP dan PKR terserempak berhampiran pusat penamaan calon di Dewan Suarah Bau Tasik Biru dan Serembu.

DAP bertanding kerusi Tasik Biru manakala PKR bertanding kerusi Serembu, tetapi wujud ketegangan selepas PKR semalam bertegas untuk bertanding kerusi Tasik Biru.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, yang menyertai calon DAP kerusi Tasik Biru, Mordi Bimol, berarak ke pusat penamaan calon, terserempak dengan calon PKR bagi kerusi Serembu, Athina Sim, tetapi hampir tidak ada interaksi dan mereka tidak berjabat tangan.

8.45am - Bawang Assan: Kira-kira 50 penyokong DAP berjalan ke arah Dewan Suarah Sibu berdama dengan calon Chiew Sung Ngie.

Chiew, 38, seorang ahli perniagaan, memberitahu pemberita bahawa beliau menjangka pertandingan tiga penjuru di situ

Beliau dijangka berdepan dengan calon BN Wong Soon Koh, dan calon Parti Reformasi Negeri (Star) Wong Sing Wei.

Kira-kira 50 penyokong BN berkumpul, sementara menunggu Soon Koh, bersama-sama dengan maskot Parti Rakyat Bersatu itu, helang yang dinamakan 'Oooh Ha'.

8.40am: Batu Kawa: Calon DAP Christina Chew Wang See bersama 50 penyokongnya tiba di diperkarangan Majlis Perbandaran Padawan bagi hari penamaan calon.

Ia diikuti oleh Senator Datuk Dr Sim Kui Hian (BN-SUPP) bersama 300 penyokongnya.

Manakala Liu Thian Leong (Bebas) bersama 100 penyokong.

Mereka bertiga masuk ke dalam dewan pada jam 8.50 pagi bagi proses penamaan calon.

8.26am - Bawang Assan, Sibu: Calon Bebas, Beng Kor tiba di perkarangan Dewan Suarah Sibu bersama penyokongnya.

Beng yang merupakan seorang aktivis sosial memberitahu pemberita bahawa ini merupakan kali pertama beliau bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Menurut Beng yang berasal dari Kapit, tujuannya bertanding dalam pilihan raya kali ini adalah untuk memperjuangkan hak kebebasan rakyat Sarawak dengan slogan 'Sarawak for Sarawakian'.

Sementara itu, pada jam 9 pagi, calon BN Datuk Seri Wong Soon Koh menyerahkan borang pencalonan kepada SPR.

Ia kemudian diikuti oleh calon DAP Chiew Sung Ngie.

8.15am - Pujut: Suasana tenang di sini dan pertandingan empat penjuru dijangka berlaku di kerusi ini antara calon BN dengan tiga calon lain.

Penyandang kerusi Pujut Fong Poh Teck akan bertanding sebagai calon Bebas. Calon DAP ialah Dr Ting Tiong Choon, calon langsung BN Hii King Chiong dan calon PAS Jofrie Jaraiee.


Tiada ulasan: