Rabu, 20 April 2016

Akta Hasutan: Pindaan tak cukup, harus mansuh - Suhakam

MALAYSIAKINI




Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengulangi desakan kepada kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 semasa pelancaran laporan tahunan 2015 pertubuhan tersebut.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pemansuhan akta tersebut akan memberi makna lebih besar kepada aspek kebebasan bersuara di negara ini, seperti yang dimaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Suhakam menyedari pada pindaan ke atas akta itu pada tahun lalu telah menyediakan aspek positif dan negatif.

"Walau bagaimanapun, Suhakam tetap dengan pendirian agar kerajaan memansuhkan akta tersebut bagi memberi lebih ruang dalam kebebasan bersuara," jelas Hasmy semasa sidang akhbar di ibu pejabat Suhakam.

Dalam laporan tersebut, Suhakam melahirkan keprihatinan terhadap beberapa pindaan yang diluluskan, termasuk penghapusan kuasa budi bicara mahkamah untuk mengenakan denda selain hukuman tahanan selepas disabitkan.

Tahun lalu, Akta Hasutan 1948 telah melalui proses pindaan setelah 14 jam dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Beberapa isu utama yang diperdebatkan oleh anggota-anggota Parlimen termasuk kebimbangan mengenai akta tersebut yang menjurus kepada penyalah gunaan kuasa susulan makna 'kecenderungan menghasut' dalam rang undang-undang itu, yang disifatkan sebagai kurang jelas.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu, walau bagaimanapun, memberi jaminan bahawa penyalah gunaan tidak akan berlaku kerana kes akan dibawa ke mahkamah selepas pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh.


Tiada ulasan: