Thursday, February 4, 2016

Solidarti Buat Mukhriz



Oleh DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR


1. Hari ini, 4 Feb 2016 saya dijemput oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (bahagian protokol) untuk menghadiri Majlis Perlantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Bashah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di Istana Anak Bukit jam 9 pagi, ekoran kejayaan Putrajaya dalam komplot penggulingan dan penyingkiran Mukhriz daripada jawatan MB Kedah.

2. Boleh dikatakan setiap kali majlis angkat sumpah perlantikan MB sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 1999, saya akan hadir. Setiap orang yang dijemput diminta memakai baju kebangsaan berwarna hitam bersongkok dan bersampin songkit benang berwarna emas.

3. Walaupun berbeza dan berlainan ideologi dan parti politik, saya menerima atas semangat demokratik kerana itu adalah ekoran daripada keputusan Piliha Raya Umum yang diputuskan oleh rakyat. Namun, pada kali ini yakni majlis angkat sumpah Bashah sebagai MB sangat berlainan kerana ekoran penggulingan Mukhriz sebagai MB akibat dendam kesumat Putrajaya kepada manusia dua beranak iaitu Tun Mahathir dan Mukhriz atas kritikan tajam mereka terhadap PM Najib.

4. Saya merenung jauh tentang nasib masa depan negeri ku yang tercinta Kedah Darulaman. Apakah akan terjadi pada anak cucu kita dengan adanya pemimpin politik yang berdendam sehingga Mukhriz yang tidak melakukan kesalahan besar digulingkan.

Apalah nasib rakyat Kedah dengan MB baru dan barisan exco yang tiada moral dan integriti politik yang hanya menjadi pak turut membabi buta. Saya cukup sedih dan kecewa dengan pemimpin politik seperti ini.

Lebih sedih dan mengecewakan lagi ialah bila adinda saya Mukhriz disingkir kerana keberanian dan ketegasan beliau bercakap benar di hadapan boss dia yang "JAHAT". Bagi saya, penyingkiran Mukhriz sebagai MB adalah sebenarnya pengkhianatan terhadap rakyat Kedah yang sama sekali tidak boleh diterima.

5. Atas semangat kasihkan negeri dan rakyat Kedah yang sedang berduka saya mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah yang baru. Saya percaya rakyat Kedah akan turut sama MENYUMPAH DAN MENYAMPAH dengan gerombolan Putrajaya yang menyerang Kedah.

#‎SOLIDARITI‬ UNTUK MUKHRIZ DAN RAKYAT KEDAH.

*  DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR.Ahli Parlimen Pokok Sena

No comments: