Friday, February 26, 2016

Penyampai radio perbodohkan pendengar

 
Penyampai radio stesen berbahasa Inggeris wajar dijadikan contoh oleh penyampai radio stesen berbahasa Melayu kerana mereka mampu mengendalikan rancangan berbentuk ilmiah yang boleh dibincangkan oleh para pendengar.
 
 
 
radio


Setiap pagi sebelum pergi ke pejabat saya akan mendengar radio di rumah terlebih dahulu sebagai halwa telinga sebelum pergi ke pejabat. Amalan itu saya lakukan sejak dibangku sekolah lagi dan boleh dikatakan dalam hidup ini tiada pagi tanpa radio.

Bukan sahaja di rumah malah, radio juga menjadi peneman tatkala saya memandu kenderaan berseorangan diri untuk pergi mahupun pulang dari pejabat.

Bagaimanapun, sesuatu yang tidak boleh saya terima ialah apabila penyampai terutama di stesen-stesen radio berbahasa Melayu lebih mementingkan hiburan daripada menyampaikan maklumat berbentuk ilmiah kepada pendengar.

Mereka hanya tahu mengajak pendengar ke satu arah tanpa ada sebarang pengisian yang bermanfaat.

Paling melucukan apabila mereka yang sinonim dengan panggilan `DJ’ cuba membuat lawak kononnya mahu menceriakan suasana hingga kadang-kadang dilihat terlebih banyak syok sendiri tanpa menyedari ia kelihatan seperti mempamerkan kebodohan sendiri.

Contohnya, penulis pernah tersalah memilih stesen radio yang kebiasaannya menjadi pilihan. Belum pun penyampainya membuat lawak, dia sudah ketawa terbahak-bahak seperti seorang yang sedang mabuk atau kerasukan syaitan.

Bila diamati betul-betul, sesuatu yang dianggap lawak itu tidaklah kelakar mana pun tetapi, disebabkan mahu menjual nama mereka sanggup lakukan apa sahaja asalkan dapat menarik minat pendengar untuk mengikuti mereka.

Mungkin, inilah punca apabila meletakkan pelawak sebagai pengendali radio. Mereka tidak dapat lari daripada kehidupan sebagai seorang pelawak yang mengada-adakan jenaka untuk membuat orang ketawa.

Walhal, kadang-kadang mereka tidak tahu sebenarnya mereka cuba memperbodohkan orang lain atau diri mereka sendiri yang begitu.

Memang tidak dinafikan ada pendengar yang suka dengan lawak jenaka tetapi, mungkin lebih ramai yang meluat daripada suka.

Berbanding dengan stesen radio berbahasa Inggeris. Para penyampainya dilihat mempunyai pengetahuan dan kebiasaannya mengendalikan sesuatu rancangan yang mampu mengajak pendengar untuk berfikir.

Bukan sekadar mengulas menerusi laporan yang dicungkil dari akhbar, malah, penyampai radio stesen berbahasa Inggeris juga wajar dijadikan contoh oleh penyampai radio stesen berbahasa Melayu kerana mereka mampu mengendalikan rancangan berbentuk ilmiah yang boleh dibincangkan oleh para pendengar.

Saya menegur menerusi tulisan ini bukanlah kerana tidak mahu membenarkan agar stesen radio berbahasa Melayu terbabit berhenti daripada membuat sesuatu program yang berbentuk lawak jenaka.

Sebaliknya, ia perlulah berpada-pada dan lawak itu juga haruslah kena pada tempatnya.

Penerbit juga perlu peka dengan rancangan yang dikendalikan oleh juruhebah mereka itu dan tidak sesekali membenarkan penyampai mengendali program dengan meleret-leret.

Ingatlah, wahai DJ kami sebagai pendengar menilai kamu, janganlah kamu perbodohkan dengan lawak-lawak murahan yang kami anggap sebagai sampah yang kadang kala menyakitkan hati.

No comments: