THE RAKYAT POST
Juara Piala Malaysia
2015, Selangor bertekad merampas gelaran juara Liga Super daripada Johor
Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. -
Foto Bernama
SHAH ALAM, Juara Piala Malaysia 2015, Selangor
bertekad merampas gelaran juara Liga Super daripada Johor Darul Ta’zim
(JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Dengan hanya berbaki seminggu sebelum
Liga M membuka tirai, Selangor melaungkan amaran awal kepada pasukan
lain bahawa pasukan berkenaan cukup bersedia menjulang kejuaraan
tersebut.
Bernama melaporkan Pengurus
pasukan Selangor, Amirudin Shari berkata sasaran utama skuad Gergasi
Merah itu adalah untuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia, merampas
gelaran Liga Super serta mempamerkan aksi terbaik pada Piala AFC.
“Dari segi persediaan, tumpuan bukan
sahaja kepada latihan, malah kita turut menekankan aspek mengawal mental
dan psikologi pemain untuk mengharungi cabaran bola sepak profesional
ini.
“Berdasarkan siri persahabatan dan
kunjungan ke Thailand, kita sudah mengenal pasti beberapa kelemahan dan
kesilapan, kita akan memperbaiki dalam masa seminggu ini,” katanya
kepada pemberita selepas majlis pengenalan skuad Liga Super Selangor di
sini pada Sabtu.
Amirudin yakin dengan kualiti yang ada pada pemain Selangor, mereka mampu mencapai sasaran tersebut.
Beliau berkata Selangor yang akan
memulakan cabaran berkunjung ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin,
bertemu JDT dalam aksi Piala Sumbangsih 2016, bersedia memberi saingan
hebat kepada skuad Harimau Selatan itu.
“Memang ada tekanan terhadap pasukan,
namun saya berharap pemain fokus dan dengan pemain berkualiti yang kita
miliki musim ini, saya percaya kita boleh cipta kejutan walaupun
berdepan cabaran sengit di Larkin dengan sorakan penyokong JDT yang
memang hebat,” katanya.
Piala Sumbangsih yang juga dikenali Piala
Sultan Haji Ahmad Shah merupakan kejohanan menyaksikan juara Liga Super
bertemu juara Piala Malaysia, yang memasuki edisi ke-31 musim ini. JDT
merupakan juara Liga Super 2015.
Beliau turut mengesahkan Stadium Majlis
Perbandaran Selayang sebagai laman sendiri pasukan Selangor untuk aksi
Piala FA dan Liga Super sehingga 5 April berikutan Stadium Shah Alam
kini sedang dibaik pulih.
Sementara itu, ketua jurulatih baharu
pasukan itu, Zainal Abidin Hassan berkata pemain masih berusaha
mendapatkan keserasian sebelum bertandang ke Larkin, Sabtu depan.
“Benteng pertahanan dan serangan perlu
diberi lebih perhatian kerana kecuaian di pertahanan boleh menyebabkan
kekalahan dan melepaskan peluang (menyerang) memberi kesan tidak baik.
Kedua-dua ini amat penting dan dalam masa seminggu ini, kita akan
perbaiki,” katanya.
Selangor yang kali terakhir menjuarai
Liga Super pada 2010, membawa masuk Zainal Abidin bersama-sama empat
pemain utama Pahang – penjaga gol Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid;
pertahanan Mohd Razman Roslan serta pemain tengah, R. Gopinathan dan
Mohd Hafiz Kamal, bagi memperkuatkan pasukan itu musim ini.
Pasukan itu turut diperkuatkan penyerang
berbisa pasukan PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh dari Liberia dan Mauro
Andres Olivi dari Argentina, selain Zarif Irfan Hashimuddin (AirAsia FC)
dan Adam Nor Azlin (Harimau Muda).
Untuk rekod, Selangor menamatkan kemarau
10 tahun untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33, selain muncul
naib juara Liga Super di belakang JDT, musim lepas.
Senarai 23 pemain Selangor musim 2016:
Penjaga gol: Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, Muhd Zarif Irfan Hashimuddin, Norazlan Razali.
Pertahanan: Robert Cornthwaite
(Australia), Mohd Azmi Muslim, Muhd Shahrom Abd Kalam, Saiful Ridzuwan
Selamat, Adam Nor Azlin, Mohd Bunyamin Umar, Mohd Razman Roslan, Mohd
Rizal Fahmi Rosid.
Pemain tengah: Andik Vermansah
(Indonesia), Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Mohd Raimi Mohd Nor, Mohd Azrif
Nasrulhaq Badrul Hisham, Mohd Hafiz Kamal, S. Veenod, Mohd Fitri
Shazwan Raduan, R. Gopinathan.
Penyerang: Patrick Ronaldinho Wleh (Liberia), Mauro Andres Olivi (Argentina), Ahmad Hazwan Bakri, Abdul Hadi Yahya.
No comments:
Post a Comment