THE RAKYAT POST
Ketua Wanita UMNO, Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil kecewa dengan sikap serta tindak-tanduk Tan
Sri Rafidah Aziz yang bertindak seperti pembangkang apabila menyerang
kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu
politik Kedah. - Foto TRP
KUALA LUMPUR, Wanita UMNO kecewa dengan sikap serta
tindak-tanduk Tan Sri Rafidah Aziz yang bertindak seperti pembangkang
apabila menyerang kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dalam isu politik Kedah.
Utusan Malaysia melaporkan
ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bekas pemimpin
Wanita UMNO itu juga seolah-olah sudah menggadaikan prinsip perjuangan
apabila tergamak membuat pelbagai persepsi serta andaian terhadap isu
tertentu dalam parti.
“Saya amat hairan dan geleng kepala
membaca kenyataan beliau. Selama 22 tahun Tan Sri Rafidah memimpin
Wanita, kami sering diingatkan supaya sentiasa disiplin, taat dan patuh
kepada kepimpinan parti terutama kepada Presiden.
“Prinsip ini seolah-olah telah digadaikan
bilamana kini beliau pula secara terang-terangan menyangkal
kepemimpinan Presiden UMNO dan membuat pelbagai persepsi serta andaian
terhadap isu yang berlaku di dalam parti mahupun negara.
“Sayang
seribu kali sayang, Tan Sri Rafidah yang dulu kebal dengan prinsip
perjuangan, kini seakan terjebak dengan permainan pembangkang untuk
melemahkan parti,” kata Shahrizat menerusi akaun Facebook miliknya hari
ini.
Rafidah ketika mengulas kemelut politik
di Kedah yang menyaksikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir terpaksa
berundur daripada kedudukannya selaku Menteri Besar antara lain
`menuduh’ Perdana Menteri sebagai dalang kepada krisis tersebut.
Dalam pada itu, Shahrizat memaklumkan,
Wanita UMNO selaku sayap yang menjadi tulang belakang kepada parti, akan
sentiasa mendukung Presiden UMNO dan kesetiaan tersebut tidak akan
goyah hanya kerana kenyataan seperti dibuat Rafidah.
“Wanita UMNO istiqamah memegang prinsip
kesetiaan serta menyokong pimpinan Perdana Menteri kerana beliau
mengambil berat tentang perjuangan parti dan juga menjaga rakyat dengan
baik, di kala seluruh dunia menghadapi cabaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment