shahbudindotcom
Walaupun
Najib sejak daripada awal berkali-kali menafikan wang tersebut berpunca
daripada 1MDB dan kononnya tidak pernah menggunakannya untuk
kepentingan peribadi, rakyat yang waras tetap mempunyai kepercayaan
sebaliknya.
Najib
berulangkali mempertahankan wang itu adalah derma yang diberikan
kepadanya dan atas kehendak penderma jugalah ia dimasukkan ke dalam
akaun peribadinya.
Tetapi,
bak kata Tun Mahathir Mohamad, bukan saja mustahil ada orang Arab
begitu pemurah, malah "orang Arab gila pun tidak mungkin menderma
sebanyak itu secara percuma."
Menjadi
kebiasaan dalam dunia ini bahawa orang akan menjadi semakin berkira
apabila bertambah kaya. Apabila seseorang ada RM10, dia tidak ada
masalah untuk memberi separuh daripadanya kepada rakan atau orang lain
yang dalam kesempitan.
Tetapi
apabila orang yang sama ada RM1 juta, terbalik dunia pun tidak mungkin
mahu diserahkannya separuh daripada itu kepada sesiapa secara percuma.
Paling banyak sedia diderma mungkin sekitar RM5 ribu atau RM10 ribu
saja.
Untuk itu, jika seseorang boleh memberi derma percuma sebanyak RM2,600 juta, berapa banyak wang yang ada dalam simpanannya?
Sebab
itu, sekali lagi, tidak ada manusia yang waras atau sesiapa pun yang
dalam kehidupannya masih boleh membezakan antara hitam dengan kelabu,
mahu memberi wang berbilion-bilion ringgit secara percuma kepada orang
lain tanpa ada kepentingan.
Dalam
episod wang yang diterima Najib, bukan saja nama pendermanya sentiasa
dirahsiakan, malah tujuan ia didermakan juga berbeza-beza serta berbagai
tujuannya seolah-olah mengikut suasana dan keadaan.
Sekejap
dikatakan untuk menang pilihanraya, mengalahkah DAP, memerangi
keganasan, mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, melawan ISIS
dan akhirnya menentang Ikhwanul Muslimin pula.
Namun
demikian, asakan berterusan membuatkan nama penderma seperti sudah
boleh dijangka dan diramalkan oleh ramai orang. Peguam Negara, Apandi
Ali, dalam kesungguhannya mempertahankan Perdana Menteri, mengatakan
sebahagian besar wang itu sudah dikembalikan oleh Najib kepada keluarga
Diraja Arab Saudi kerana tidak digunakan.
Ia
kemudian menyebabkan tekaan mencari nama dan siapa penderma serta
kerabat-kerabat Diraja Arab Saudi yang kaya terus berleluasa sehingga
akhirnya nama Raja Abdullah yang mangkat pada Januari 2015 segera
dikaitkan.
Jika
selama ini ramai yang begitu hairan bagaimana ada orang terlalu pemurah
boleh menderma berbilion-bilion secara ikhlas tanpa meminta balasan,
kehairanan tambah mencecah awan kerana rupa-rupanya ada lagi manusia
yang "begitu hebat" dengan memulangkan sebahagian besar wang derma
semata-mata kerana tidak digunapakai.
Seluruh
dunia lantas ketawa dan ada pula menganggapnya lawak jenaka paling
hebat "made ini Malaysia" untuk hiburan seantero cakrawala.
Kemudian
muncul pula Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir yang lebih percaya
wang RM2,600 juta itu adalah suatu bentuk pelaburan dan bukannya derma.
Sementara
Najib masih mengunci mulut dan membisu seribu bahasa, Peguam Negara
akhirnya sekali lagi membuat pendedahan bahawa salah seorang anak lelaki
Raja Abdullah adalah individu yang dicari-cari itu.
Meskipun
enggan menyebut namanya, kaitannya segera tertumpu kepada Putera Turki
Abdullah Al Saud, salah seorang anak lelaki Raja Abdullah yang diketahui
memiliki PetroSaudi dan mempunyai usahasama perniagaan dengan 1MDB.
Peguam Negara juga menyebut, motif di sebalik derma itu tidak penting kerana ia tidak salah di bawah undang-undang negara.
"Ini
adalah wang dia dan urusan peribadinya. Kami tidak mempunyai
undang-undang untuk menyatakan bahawa menerima sumbangan politik adalah
haram.
"Dia ada berbilion-bilion, jika dia mahu menderma, apa masalahnya?" soal Apandi lagi.
Laporan-laporan
media antarabangsa memang ada menyenaraikan Raja Abdullah antara
pemerintah yang terkaya di dunia dengan pemilikan kekayaan kira-kira
AS$19 bilion, tetapi tidak pernah disebut mengenai harta dan kesuksesan
anak-anaknya.
Apatah
lagi ketika wang itu dimasukkan ke akaun peribadi Najib pada Mac 2013,
Raja Abdullah masih lagi hidup dan anak-anaknya seramai 18 orang itu,
termasuk Putera Turki, belum lagi difaraidkan kekayaan sebanyak AS$19
bilion itu.
Jika ada anaknya yang begitu kaya sehingga boleh menderma sebanyak RM2,600 juta atau AS$681 juta, berapa kekayaannya?
Katalah
Putera Turki yang syarikatnya PetroSaudi mempunyai urusniaga dengan
1MDB, dinilai paling logik sebagai penderma kepada Najib, apakah wang
yang diberikannya itu benar-benar bebas kaitannya dengan 1MDB?
Bagaimana
pula dengan beberapa siri pendedahan antarabangsa sebelum ini berkaitan
kehilangan wang dalam urusniaga antara 1MDB dan PetroSaudi dan terbaru
oleh Peguam Negara Switzerland tentang kecurigaan pemindahan wang
sejumlah AS$4 bilion, juga berkaitan 1MDB melalui institusi kewangan
negara itu?
Dalam
hal ini, sebelum terbongkar hakikat sebenarnya, bukankah lebih baik
jika Najib segera berterus-terang dan berlaku jujur dengan beliau
sendiri mendedahkan anak Raja Abdullah yang mana yang menjadi penderma
dan tujuan ia diberikan supaya kita boleh menjangka sama ada berkaitan
1MDB atau sebaliknya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan