Selasa, 2 Februari 2016

[KEMASKINI] ADUN BN adakan pertemuan tertutup di Grand Alora

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Selepas mengadakan pertemuan dengan Jemaah Diraja Kedah semalam, ADUN Barisan Nasional (BN) pada tengah hari ini mengadakan pertemuan tertutup di Hotel Grand Alora, di sini.
 
Tidak dapat dipastikan bilangan ADUN yang hadir pada pertemuan itu, yang dipercayai bagi membincangkan perkembangan isu kemelut Menteri Besar Kedah selepas pertemuan mereka dengan jemaah Diraja semalam.
 
Pihak media juga sudah memenuhi lobi hotel bagi mendapatkan perkembangan terbaru selepas gagal mendapatkan maklum balas hasil pertemuan itu semalam.
 
Dalam pada masa yang sama, jemaah Diraja memanggil ADUN pembangkang untuk mengadap di Wisma Darul Aman, jam 2.30 petang ini.
 
Mereka akan mengadap tiga ahli jemaah berkenaan, yang terdiri daripada Pengerusinya Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.
 
Selepas pertemuan dengan ADUN pembangkang itu, istana Kedah dijangka akan mengumumkan nama baru untuk menggantikan tempat Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah selepas hilang sokongan.
 
 

Tiada ulasan: