QURNISHA HAMKA
Kemungkinan Umno
mengehadkan liputan media mempunyai hubung kait dengan isu-isu yang
timbul dalam Umno, di mana ianya dijangka dibangkitkan dalam PAU 2015. -
Foto arkib TRP/ Mokhsin Zamani
KUALA LUMPUR, Menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 pada awal bulan depan yang dilihat bakal membawa suasana baru bagi ahli-ahli Umno serta pengamal media.
Ia susulan pengumuman Setiausaha Agung
Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih dikenali sebagai
Ku Nan, berhubung kemungkinan liputan media dihadkan ketika PAU 2015.
Menurut penganalisis politik dari
Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Azizuddin Mohd Sani,
kemungkinan Umno mengehadkan liputan media mempunyai hubung kait dengan
isu-isu yang timbul dalam Umno, di mana ianya dijangka dibangkitkan
dalam PAU 2015.
Jelasnya, ia mungkin sebagai langkah
berjaga-jaga, kerana perwakilan mungkin membuat kritikan terbuka
terhadap pucuk pimpinan parti.
“Saya sebenarnya rasa pelik dengan
perkara (hadkan media) ini, sebab sebelum ini tak pernah jadi begini,
semua terbuka untuk dilaporkan.
“Saya
rasa mereka jangkakan akan ada usul-usul sensitif yang akan
dibangkitkan, termasuk mengkritik kepimpinan, yang mana ianya boleh
menjejaskan imej Umno, jika dilaporkan dalam media.
“Sebab itu mereka putuskan untuk hadkan
media dalam perhimpunan kali ini. Sebab kalau ekstrem, kita boleh
jangkakan adanya kritikan terbuka kepada kepimpinan dan juga saya jangka
ada perwakilan yang selitkan isu pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin
(Timbalan Presiden Umno) dan juga Datuk Seri Shafie Apdal (Naib Presiden
Umno) daripada Kabinet, Julai lalu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini.
Petang tadi, Tengku Adnan menafikan pernah menyatakan media tidak dibenarkan membuat liputan pada PAU 2015.
Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan dibuat.
“Siapa kata media tidak boleh buat
liputan? Saya tidak pernah cakap begitu. Saya cakap saya tidak putuskan
lagi, sebab masalahnya sekarang, kamu semua (media), kalau kami buka
untuk liputan, kamu suka untuk pick up thing spin againts us.
“Jadi, saya tidak mahu berlaku begitu.
Sudahlah. Kalau kamu tidak memutar belit dan berkelakuan baik, saya juga
boleh buka liputan untuk kamu,” kata Tengku Adnan.
Dalam sidang akhbar terdahulu pada pagi
Rabu, Tengku Adnan berkata, Umno membuat keputusan bahawa perhimpunan
agung pada bulan depan akan diadakan secara tertutup tanpa liputan
media, termasuk media arus perdana, bagi mengelakkan berlakunya
manipulasi berita.
Menurutnya, ada kecenderungan di kalangan
media, khususnya media dalam talian dan portal berita untuk menyiarkan
berita tidak betul dan memutarbelitkan fakta.
Sehubungan itu, katanya, dua Naib
Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin
Hussein akan mengadakan sidang media, untuk mengupas apa yang berlaku
dalam perhimpunan agung itu.
Mengenai keputusan Majlis Tertinggi Umno
semalam yang membenarkan ketua sayap masing-masing merasmikan mesyuarat
perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, Azizuddin berpendapat,
Timbalan Presiden Umno masih ada peluang lain untuk berucap di
perhimpunan itu.
“Walaupun Majlis Tertinggi dah kata
Timbalan Presiden tidak boleh bagi ucapan semasa merasmikan sayap, kita
kena ingat juga bahawa Timbalan Presiden punya ucapan bukan tiga kali
sahaja, beliau ada lima peluang…masa penutup perhimpunan, beliau akan
ada peluang dan akan duduk satu pentas dengan Presiden (Datuk Seri Najib
Razak)…ini akan nampak pelik dalam perbalahan, sebab mereka menafikan
hak Timbalan Presiden untuk berucap,” katanya.
Sementara itu, Azizuddin berkata, Umno
pada perhimpunan agung yang akan bermula 8 Disember ini bakal menyusun
strategi dan membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Malah, PAU kali ini juga akan menyentuh isu-isu semasa, bagi mereda dan merungkai perbalahan di kalangan ahli-ahli akar umbinya.
“Saya rasa mereka kena terus kuat untuk
terus bertahan sebagai pemerintah, oleh itu, mereka kena bersiap sedia
dari sekarang dalam membentuk strategi untuk PRU14.
“Akan ada juga isu-isu semasa, seperti
1MDB (1Malaysia Development Berhad), GST (Cukai Barangan dan
Perkhidmatan) dan beberapa isu lain dibincangkan nanti,” kata Azizuddin.
Sementara itu, penganalisis politik dari
Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian menjangkakan, PAU 2015
akan mengetengahkan isu-isu berkaitan teras perjuangan, khususnya
sebagai persiapan untuk menghadapi PRU14.
Menurutnya, perkara itu akan
dibincangkan, di samping soal cabaran dalam Islam, bagi membentuk
perpaduan ummah di kalangan rakyat Malaysia.
“Mungkin isu yang lebih kurang sama,
satunya mungkin mahu dilihat dari perspektif sejauh mana menggambarkan
ahli berteras kepada perjuangan parti, ataupun mungkin dalam ayat mudah,
saya rasa Presiden akan tekankan perpaduan dalam parti.
“Ini bagi persiapan dua tahun lagi untuk
PRU dan isu-isu lain juga, seperti Islam dan cabaran bagi membentuk
perpaduan ummah,” katanya ketika diminta mengulas jangkaan isu yang
bakal dibincangkan dalam PAU 2015.
No comments:
Post a Comment