Saturday, November 28, 2015

Amaran buat DAP, Amanah serta PAS, jangan laga-lagakan pemimpin PKR - Azmin

 Oleh Nur Atiqah Abdul Samad & Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memberi amaran kepada sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) serta PAS, agar tidak melaga-lagakan pimpinan parti itu berhubung apa jua isu.
 
"Ini adalah ketetapan Majlis Pimpinan Pusat yang bersidang pada 11 Oktober lalu yang diperlukan oleh semua anggota parti.
 
"Kita mahu semua pihak, termasuk rakan-rakan kita menghormati pendirian yang diambil PKR dan jangan melaga-lagakan pimpinan di dalam PKR," katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Tahunan Kali ke-11 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pagi tadi.
 
Tegas Azmin meskipun wujud perbezaan pandangan, sama ada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) serta PAS perlu menghormatinya dan mempertahankan kerjasama itu. 
 
"Budaya di dalam PKR segar... Kita meraikan perbezaan pendapat tetapi sama sekali tidak mengizinkan perpecahan," demikian menurutnya lagi.
 
Azmin berkata demikian dipercayai merujuk kepada kontroversi lima ADUN PKR Pulau Pinang dituduh Ketua Menterinya, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebagai 'bersama' dengan Umno Barisan Nasional (BN), hanya kerana bersikap berkecuali dalam undian usul tambak laut, dinegeri itu.
 
Guan Eng juga dilaporkan berkata tindakan lima ADUN PKR itu sebagai ada kaitan dengan cubaan rampasan kuasa jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 yang kini disandang Mohd Rashid Hasnon.
  
Menafikan dakwaan itu, PKR peringkat Pusat meminta DAP Pulau Pinang agar tidak memanjangkan isu tersebut dan menjelaskan kesemua lima ADUN itu sudahpun menjelaskan alasan tidak mengundi dan ia diterima pimpinan parti.
 
Azmin kemudiannya mengalu-alukan penyertaan Amanah dalam gabungan PH dan dalam masa sama menegaskan tahaluf siyasi dengan PAS masih diteruskan seperti biasa.
 
"PKR menyambut kelahiran Amanah dan menerima dalam keluarga besar kita, PKR akan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS dan kerjasama dengan PSM serta parti-parti politik di Sabah dan Sarawak dan NGO yang menjuarai hak serta agenda rakyat," kata Azmin.
 
Sebelum ini PKR Selangor diasak hebat DAP yang mahu parti itu mengiktiraf PH Selangor dan memutuskan kerjasama dengan PAS.
 
Dalam kongres DAP baru-baru ini, Ketua Pemuda Dapsy Teo Kok Seong melahirkan rasa kesalnya terhadap Azmin yang enggan mengiktiraf Pakatan Harapan di Selangor.
 
 

No comments: