GEORGE TOWN: Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang gagal mengamalkan
prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) selepas memberi maklumat
yang bercanggah dengan Laporan Ketua Audit Negara berhubung isu
penarahan bukit dan pembangunan tanah tinggi di negeri ini.
Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda Gerakan, Jason Loo berkata
percanggahan maklumat dari kerajaan negeri dan Laporan Audit Negara itu
amat ketara dan sering kali mengelirukan kerana angka-angka yang diberi
tidak selari.
Menurutnya, ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas,
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalulintas dan Tebatan Banjir,
Chow Kon Yeow telah menyatakan bahawa sejak 2008, sebanyak 72 lot tanah
di negeri ini telah digondol dan ditarah tanpa kelulusan atau
kebenaran.
"Namun dalam Laporan Audit Negara tahun 2014 siri 3 telah menyatakan
terdapat 268 lot penggondolan atau penarahan tanah tanpa kelulusan atau
kebenaran dari tahun 2012 hingga 16 Mac tahun ini.
"Mana data yang betul dan tepat? Saya berharap kerajaan negeri yang
berprinsipkan CAT dapat menjelaskan perkara ini kepada rakyat," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Pada persidangan DUN lepas, Chow telah menjawab soalan bertulis dari
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad,
dengan menyatakan senarai, lokasi, nombor, tuan tanah, ketinggian atas
paras laut, keluasan dan kegunaan semua bukit termasuk tanah yang telah
digondolkan tanpa kelulusan atau kebenaran.
Loo turut mempersoalkan jawapan diberi Chow ketika menjawab persoalan
dibangkitkan dalam sidang DUN terhadap isu kelulusan pembangunan tanah
tinggi yang melebihi 76 meter atau 250 kaki dari aras laut.
"Tiada pembangunan boleh dilakukan pada kawasan yang melebihi
ketinggian 76 meter dari aras laut yang telah termaktub dalam pelan
pembangunan Pulau Pinang tetapi Chow sendiri memberitahu terdapat 56 lot
tanah diberi kelulusan sejak 2008?
"Jawapan Chow ini jelas menunjukkan wujud ketidaktelusan dalam jawapan
Ketua Menteri Lim Guan Eng tiga tahun lalu apabila menegaskan tiada
sebarang kelulusan diberi Kerajaan Negeri bagi pembangunan di kawasan
yang melebihi ketinggian 76 meter di negeri ini," katanya.
Sementara itu, Lim ketika ditemui dalam sidang media yang berasingan berkata isu itu akan dijawab oleh Exco yang terlibat.
Katanya, kerajaan negeri akan memberikan perhatian yang serius kepada
Laporan Audit Negara dan perkara berhubung perbezaan angka itu akan
dijawab dalam kadar segera. - Bernama
No comments:
Post a Comment