Sunday, November 29, 2015

Obama dah pergi, baru Nasha nak bersuara?



Oleh Nomy Nozwir 


Minggu lalu, heboh ketua bagi segala ketua negara dalam dunia ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama datang ke negara ini buat kali kedua sepanjang beliau menjadi presiden.

Ini sememangnya bersejarah kerana sebelum Obama, satu-satunya presiden AS yang pernah datang ke Malaysia ialah Presiden Lyndon Johnson pada zaman Perang Dingin, dan itu pun sekali.

Dan sejak Amerika menjadi kuasa dunia sejak Perang Dunia Kedua, jika seorang presiden AS datang ke sesebuah negara, negara itu menjadi sangat penting bagi kuasa dunia itu untuk meneruskan kuasa hegemoni mereka.

Semasa Perang Dingin dan Perang Vietnam, Johnson datang sekali ke negara ini kerana pada masa itu Amerika sedang cuba menghalang 'efek domino' daripada komunisme yang terus merebak ke seluruh Asia Tenggara.

Tapi apa pula kedatangan Obama kali ini, sampai 2 kali pula tu?

Apa pun jua persoalan yang muncul dalam kotak fikiran saya, semua itu tidak penting kerana negara ini sudah sejak merdeka lagi sudah menjadi rakan sampingan, dan kalau dalam bahasa kasarnya, barua setia AS.

Kehadiran presiden AS ke negara-negara barua ini sangatlah besar ertinya, terutamanya negara yang bergantung kepada kekuasaan bala tentera Washington ini.

Jadi pelbagai acara dan bermacam-macam keraian dilakukan bagi menyambut 'maharaja' yang datang melawat 'vassal state' agar mereka terus dilihat setia dengan Washington, tidak kiralah 'maharaja' itu Demokrat, atau Republikan.

Dan pada masa inilah, Obama bercakap tentang hak LGBT, kebebasan media, dan banyak perkara yang menyelar pentadbiran negara ini.

Dan apabila presiden AS ini, bercakap tentang ini, di negara ini, semua ahli politik dan NGO Melayu yang selama ini bising tentang penularan "masalah" LGBT ini pun menikus dan diam seribu bahasa.

Apabila kapal terbang Air Force One sudah pun berlepas keluar dari negara ini, maka mereka yang menikus tadi pun barulah nak keluar dan memekik-mekik tentang apa yang dikatakan Obama semasa dia di negara ini.

Contohnya seperti apa yang dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Nasharuddin Mat Isa dalam satu kenyataannya.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata Obama tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan agar Malaysia menerima konsep perkahwinan sejenis.

“Kita tidak perlu mana-mana pihak luar mengajar kita bagaimana untuk mengurus negara. Kita yang berhak mentadbir dan mengurus kedaulatan negara ini.

“Apa yang orang lain buat di negara masing-masing itu hak mereka. Dalam konteks Malaysia, kita ada Perlembagaan yang jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Saya merasa sangat kesal dengan kenyataannya. Dia (Obama) hendak suarakan pandangan itu hak dia, tetapi Malaysia harus kekal dengan pendirian kita letakkan Islam sebagai hukum tertinggi dalam negara kita,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada Selasa lalu.

Persoalan saya ialah, kenapa Nasha tidak bercakap ketika Obama sedang berada di negara ini?

Kenapa dia dah lepas baru nak bercakap tentang semua ini?

Tidakkah perbuatan ini seperti melepaskan batuk di tangga, dan kenapa seperti tulisan kolumnis The Malaysian Insider, Amin Iskandar ada menulis minggu lalu, kenapa tidak ditangkap dan didakwa Obama ini kerana mengeluarkan kenyataan berbau hasutan?

Jawapannya senang saja. Pentadbiran negara ini tahu, ketua polis negara, Jabatan Kehakiman Negara, NGO Melayu-Islam ini semua tahu tentang hakikat ini.

Obama tidak mungkin akan didakwa dan ditahan atau ditangkap atau disabit kesalahan di negara ini.

Sebab Malaysia cuma 'vassal state' bagi Amerika. Gila apa nak dakwa 'maharaja dunia'?

Paling-paling pun lah, mereka cuma boleh buat macam mana Tun Dr Mahathir Mohamad pernah buat, mendakwa seorang lagi bekas presiden AS George W Bush dan perdana menteri United Kingdom Tony Blair atas kekejaman di Iraq dalam satu mahkamah tribunal syok sendiri yang pernah dibuat pada 2011.

Mungkin lepas ini, Nasha Mat Isa, atau Hadi Awang, atau semua orang yang gila hudud, boleh ikat effigi, patung yang berupa seperti Obama, dan ikat patung tersebut di tengah-tengah dataran, dan lontarkan batu seperti hukum hudud bagi mereka yang melakukan hubungan homoseksual.~TMI

No comments: