Isnin, 25 Mei 2015

Mangsa culik di Sandakan mungkin dijual

 
Sehingga kini pihak keluarga mangsa yang diculik masih belum mendapat sebarang tuntutan bayaran daripada penculik. 


sandakan kidnao



KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan mangsa culik di sebuah restoran di Sandakan, Sabah akan dijual kepada pihak lain.

Menterinya Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, sehingga kini pihak keluarga mangsa masih lagi belum menerima sebarang tuntutan bayaran daripada penculik.

“Penculik-penculik telah membawa mangsa penculikan di Jolo dan setakat ini pihak keluarga belum dapat sebarang tuntutan bayaran oleh pihak penculik.

“Lazimnya, jika penculik terbabit tidak menghubungi keluarga menuntut bayaran, maka mereka akan menjual mangsa culik kepada pihak lain,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.

Tambahnya, perkara seperti itu turut pernah berlaku terhadap anggota pasukan Polis Marin Lans Koperal Zakiah Aleip yang dikesan dijual dari satu pihak kepada pihak yang lain.

“(Perkara ini) pernah berlaku (menjual) kepada Lans Koperal Zakiah yang juga telah berpindah dari satu tangan kepada tangan yang lain

“Saya amat berharap mereka masih berada dalam keadaan yang selamat.,” katanya.

Pada 14 Mei lalu, seorang wanita yang juga pengurus Restoran Ocean King, Thien Nyuk Fun, 50, dan seorang lelaki, Bernard Ghen Ted Fen, 39, seorang konsultan elektronik di Kemboja telah diculik dipercayai didalangi oleh kumpulan Muktadil Brothers.

Dalam pada itu, ketika mengulas penemuan kubur besar di Padang Besar, Zahid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menggali keluar mayat berkenaan.

“Unit forensik PDRM sedang menggali kubur-kubur itu dan akan mengendalikan beberapa ujian forensik bagi menentukan jumlah mayat telah ditanam dan mengenal pasti identiti mayat.

“Soal sama ada mayat tersebut milik etnik Rohingya ataupun berkaitan pemerdagangan orang Bangladesh juga akan turut ditentukan selepas ujian itu,” katanya.

Tiada ulasan: