Jumaat, 29 Mei 2015

Pakatan Rakyat tidak akan berpecah walau DAP dan PAS tidak sehaluan - PKR

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berpecah walaupun kemelut antara DAP dan PAS semakin meruncing dan dilihat seperti tiada jalan penyelesaian buat masa ini.
 
Ramalan itu dibuat pemimpin kanan PKR Selangor, Abdullah Sani Abdul Hamid.
 
Ujarnya, parti kompenan dalam Pakatan Rakyat sedang melalui fasa menyesuaikan diri dengan perbezaan pendapat berhubung sesuatu isu.
 
"Ikatan di antara Pakatan itu konsisten cuma pandangan berbeza itu hak masing-masing, kita tidak menyekat. Yang jelas yang dibawahnya itu kukuh sampai sekarang.
 
"Isu masalahnya apabila yang di atas itu mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi bukanlah bermaksud perpecahan itu berlaku, malah saya tidak nampak perpecahan itu akan berlaku," katanya kepada Antarapos ketika ditemui tadi di lobi Parlimen.
 
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat menolak jangkaan banyak pihak bahawa Pakatan Rakyat akan berpecah jika PAS dan DAP terus bertegang urat.
 
Malah beliau yakin, rakyat serta penyokong Pakatan Rakyat sentiasa mendoakan kesejahteraan gagasan itu.
 
"Mana ada, masalah (tarik diri) daripada Pakatan Rakyat tidak akan timbul, sebab rakyat hari ini berdoa, bekerja keras untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional," katanya.
 
"Saya rasa tidak sampai begitu (runsing) dengan apa yang berlaku di Selangor, kerana saya melihat kekuatan DAP-PAS-PKR ini yang bersederhana begitu kuat di peringkat bawahan. Jadi gelombang itu tidak boleh dikacau bilau oleh pimpinan atasan, itu tidak boleh," katanya.
 
Beliau juga memberitahu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat akan terus kukuh di Selangor.
 
Azizah pada sidang medianya minggu lalu berkata Selangor akan ditadbir dengan sedikit 'kelainan', namun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai apa yang diperkatakannya.
 
"Presiden sudah memaklumkan akan mengadakan pertemuan segera kesemua pimpinan, malah pandangan berbeza ini kita hanya menganggap ianya untuk sementara sahaja," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Abdullah turut menafikan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali gagal mentabdir kerajaan negeri itu walaupun sudah beberapa bulan mengambilalih daripada bekas pimpinan sebelum itu.
 
"YAB Menteri Besar melaksanakan tugas yang belum diselesaikan oleh Tan sri Abdul Khalid Ibrahim, yang keduanya reformasi daripada pentadbiran itu dibuat secara beransur-ansur bermaksud dasar kerangkan yang dijanjikan itu membuatkan Azmin perlu laksanakan.
 
"Dia memang tidak popular di kalangan rakyat tetapi dasar itu  telah dijanjikan. Jadi saya tidak nampak itu isu yang besar, tetapi cuba diperbesarkan oleh media dan saya melihat perkara itu bukan satu isu.
 
"Itulah satu contoh yang saya katakan isu menteri besar ini perlu menunaikan manifesto terlebih dulu dan sekarang ini dia sedang buat semua," katanya lagi

Tiada ulasan: