Khamis, 28 Mei 2015

Suami eksekutif TV9 bebas tuduhan bunuh isteri

MALAYSIAKINI


 


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan suami kepada eksekutif pentadbiran TV9 Nur Syaleza Jaffar, daripada tuduhan membunuh wanita itu tiga tahun lepas.
  
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan sedemikian selepas berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
  
Beliau berkata kecurangan suami mangsa, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 34, adalah punca Nur Syaleza menjadi murung sehingga menyebabkan wanita itu bertindak membunuh diri.
  
Norazman Bashah didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya, antara 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.
  
Bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar dan T Deepa Nair manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Fadhli Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan.
  
Sebanyak 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.  
-Bernama


 

Tiada ulasan: