Ahad, 24 Mei 2015

Wan Azizah Berkeras Tubuh Kabinet Bayangan Pakatan

RAKYATNEWS


alt


 
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP berhubung cadangannya mewujudkan kabinet bayangan pakatan berkenaan.

Beliau berkata ia adalah bagi memberi gambaran jelas kepada ketiga-tiga parti itu bahawa cadangan untuk membuat pemilihan anggota kabinet bayangan yang diumumkannya Isnin lepas adalah idealistik.

"Kita wujudkan kabinet bayangan sebab tiada prasarana dalam Parlimen untuk berbuat demikian dan akan bincang dalam masa terdekat.

"Disebabkan itu juga DAP, PAS dan PKR akan diberi peluang untuk ada jurucakap sendiri bagi portfolio tertentu," katanya kepada pemberita selepas siri dialog Darul Ehsan bertajuk 'PRK Permatang Pauh dan Masa Depan Politik Malaysia' di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini yang menyifatkan kewujudan kabinet bayangan oleh Anggota Parlimen Permatang Pauh itu sebagai tidak relevan.

Susulan itu, DAP memilih untuk menubuhkan kabinet bayangan sendiri dengan mengumumkan senarai 18 portfolio yang akan diisi anggota Parlimen parti berkenaan.

Terdahulu, Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, dalam ucapan aluannya pada sesi dialog tersebut ibarat bersetuju dirinya bukan calon paling layak memegang jawatan Ketua Pembangkang.

"Sepatutnya, Lim Kit Siang (Penasihat DAP) yang pegang jawatan itu (Ketua Pembangkang) kerana DAP memegang majoriti kerusi dalam Parlimen," katanya.

Ketika ditanya sebab beliau dipilih, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu  enggan mengulas lanjut dan sekadar memberi alasan beliau adalah Presiden PKR serta diberi laluan oleh pemimpin pakatan pembangkang lain. Bernama


Tiada ulasan: