Jumaat, 29 Mei 2015

Apa salah suruh undur, prestasi Najib terburuk sebagai PM, kata Dr M

THE MALAYSIAN INSIDER


 Tiada salahnya jika gesaan dibuat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berundur, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Mei, 2015.Tiada salahnya jika gesaan dibuat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berundur, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insider.


























Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada salahnya menggesa Datuk Seri Najib Razak untuk berundur kerana masalah dalam negara yang dibuat perdana menteri itu lebih buruk berbanding penyandang jawatan berkenaan sebelum ini.

Dr Mahathir berkata pemimpin yang dipilih rakyat juga tidak terlepas daripada gesaan meletakkan jawatan walaupun penggal pemerintahannya belum berakhir.

“Perdana menteri sebelum ini juga dipilih (menerusi pilihan raya) malah dengan majoriti yang lebih besar.


“Namun beliau juga dipujuk untuk berundur oleh perdana menteri sekarang,” kata Dr Mahathir menerusi blog popularnya, chedet.cc hari ini. Najib pada Rabu berkata kebanyakan tuduhan yang dilemparkan Dr Mahathir terhadapnya "tidak adil dan mengelirukan” selain menggesa biar generasi berikutnya mentadbir negara.

"Malaysia ialah sebuah demokrasi. Saya dilantik oleh Umno, dan rakyat negara ini, untuk memimpin mereka.
"Oleh itu, saya mempunyai mandat mereka dan saya bertanggungjawab kepada parti dan rakyat, bukan kepada mana-mana individu," kata Najib dalam blognya www.najibrazak.com.

Dr Mahathir berkata tiada cakap-cakap mengenai perdana menteri sebelum ini yang berbelanja mewah, membeli barang-barang mahal dan berkehidupan mewah.

Katanya, walaupun mungkin khabar angin yang didengarnya tidak benar tetapi perkara berkenaan tidak pernah berlaku kepada perdana menteri sebelum ini.

“Cakap-cakap seperti itu pastinya kerana cara hidup berbeza yang difikirkan sebagai seorang perdana menteri.

“Oleh kerana itu dan banyak sebab lain, Najib patut letak jawatan,” katanya.

Perdana menteri paling lama menerajui negara itu turut mengulangi sokongan yang ditunjukkan kepada Najib adalah palsu dan tidak membawa peningkatan undi kepada Barisan Nasional (BN).

“Khalayak yang ramai memberi sokongan, kita pernah melihat demonstrasi seperti itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Hasilnya lebih buruk berbanding PRU12.

“Demonstrasi berkenaan tidak menterjemahkan sokongan kepada Najib. Mereka datang kerana pelbagai insentif,” katanya.

Tiada ulasan: