JAKARTA - Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang menipu pengguna mengenai sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan menaikkan harga barangan dengan menokok Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, perbuatan peniaga jahat dan tamak itu bukan sahaja menganiayai pengguna malah ia turut menjejaskan aspirasi negara untuk menambahbaik sistem pencukaian negara.
  
"Mulai 1 April lepas, kerajaan telahpun menghapuskan SST sebanyak 10 peratus dan menggantikannya dengan GST yang hanya enam peratus sahaja dan kerajaan telahpun memberi penjelasan kepada semua pihak," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu itu, Hasan merasmikan pameran gerai-gerai syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam Misi Promosi Francais Malaysia ke Jakarta di sini.
  
Menurutnya pihaknya telah mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengenakan GST terhadap pengguna walaupun mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Kastam.
  
Beliau berkata kerajaan juga berjanji akan melayan semua jenis aduan tetapi dalam masa yang sama meminta orang ramai memberi maklumat yang lengkap supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya.
  
Hasan berkata, kerajaan telah menyediakan banyak pusat pertanyaan dan aduan termasuk yang menyediakan perkhidmatan 24 jam untuk menerima sebarang aduan mengenai GST.
  
Setakat ini kementerinya hanya menerima kira-kira 200 aduan berbanding lebih 7,000 aduan mengenai GST pada April lepas.
  
"Kita mahu maklumat lengkap seperti syarikat manakah yang telah menipu mereka dan kemukakan bukti supaya pasukan penguatkuasa dapat memgambil tindakan undang-undang," kata beliau.
  
Beliau berkata, GST adalah satu penyusunan semula sistem pencukaian negara dan ia telah dilaksanakan oleh banyak negara termasuk di Indonesia.
  
"Di Indonesia, GST adalah sebanyak 10 peratus dan rakyatnya telah lama membayar GST kerana memahami ia memberi kesan positif kepada negara," katanya. - Bernama