SHAH ALAM – Terlalu banyak campur tangan pimpinan DAP dalam pentadbiran Pas membuatkan seolah-olah wujud kumpulan dalam Pas yang suka mengikut nasihat DAP.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun DAP merupakan rakan komponen dalam PR, tetapi parti itu tidak sepatutnya mencampuri urusan dalam Pas.

“Seperti sekarang, pimpinan DAP seolah-olah cuba campur tangan dalam pemilihan Pas yang akan berlangsung Jun ini. Antaranya ialah DAP sering menyebut mengenai keperluan untuk Pas menukar kepimpinan.

“Apabila ada kenyataan daripada DAP, ia seolah-olah mencerminkan wujud situasi begitu (golongan yang menyokong DAP). Sepatutnya tiada orang luar yang menentukan hala tuju Pas,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin bahawa wujud dua golongan dalam Pas, iaitu yang menyokong DAP dan golongan yang setia mempertahankan dasar Pas.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, segala kritikan dan campur tangan DAP tidak akan menjejaskan dasar parti Islam itu.

“DAP pernah menyatakan tidak menerima kepimpinan Abdul Hadi, tetapi masih kerjasama dengan Pas. Ini sesuatu yang pelik.

“DAP tidak perlu tunggu sehingga selepas muktamar ini untuk melihat dasar dan polisi Pas. Ini kerana, bagi kita, terutamanya golongan ulama dalam Pas, sama ada sebelum atau selepas muktamar, perjuangan kita tetap sama dan tidak berubah,” katanya.