Sabtu, 30 Mei 2015

Mat Sabu Sindir Hadi Kononnya Hebat Tapi Gagal Tawan Terengganu

MSTAR ONLINE
 
 
Mat Sabu (kanan) bersalaman dengan Hadi ketika menghadiri majlis parti itu.
 
 
TUMPAT: Krisis dua pimpinan utama PAS dilihat semakin meruncing menjelang pemilihan parti itu awal Jun ini, dengan timbalan presiden Mohamad Sabu semakin lantang mengkritik kepimpinan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu yang akan mempertahankan jawatannya pada Muktamar Tahunan PAS 2015, mempertikaikan kegagalan Hadi untuk menawan Terengganu, selain menyindir tindakan Abdul Hadi yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.

"Pidatonya (Abdul Hadi) begitu hebat, ceramahnya, kuliahnya, Rusila (nama tempat di kawasan Parlimen Marang), kereta 'parking' berbatu, jadi macam pekan hari bila Tok Guru Abdul Hadi beri kuliah, tapi bila pilihan raya umum (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada Barisan Nasional (BN)).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan Parti Keadilan (Rakyat), dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah isu semasa PAS di sini, Jumaat malam.

Turut hadir pada ceramah itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan parti nanti. Hadi sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan membawa PAS keluar daripada pakatan pembangkang jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Ramai pemerhati politik melihat pemilihan PAS pada muktamar tahunan pada 4 hingga 6 Jun itu nanti sebagai pertandingan antara golongan ulama dan bukan ulama atau 'erdogan'.

Mat Sabu yang dilihat pemerhati politik sebagai pro kepada DAP, turut memberikan contoh senario di Kelantan sekitar 80-an ketika Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin PAS Kelantan, tapi gagal memerintah negeri itu kerana tidak bergabung dengan parti pembangkang.

"Bila lahir parti Semangat 46. PAS berpakat dengan Semangat 46 (untuk) lawan UMNO dan kita menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen (di Kelantan).

"Ertinya sehebat-hebat (Allahyarham) Nik Aziz, dalam hal pilihan raya umum, (tetap) tak boleh ambil Kelantan (dari BN) melainkan bila tahaluf (bekerjasama) dengan Semangat 46. Ertinya dalam politik ini kita pakat, undi banyak, kita berpecah, undi kurang," katanya.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita berkata beliau akan terus mengekalkan PAS dalam pakatan pembangkang jika dipilih menerajui parti itu nanti.-- Bernama

Tiada ulasan: