Ahad, 31 Mei 2015

Nak Tutup 1MDB Tapi Berhutang Lagi?

A Kadir Jasin

NAK tutup (wind down) 1MDB?

Kalau nawaitu betul, “business model” bagus, harta banyak, juruaudit luar kata semua teratur, Lodin kata diurus dengan baik, tak ada siapa menipu, Jho Low tak ada kena mengena, tak bayar komisen berbilion ringgit dan tak ada duit lesap, sebab apa nak “wind down” 1MDB?

Takkan kerana dipertikai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipersoalkan oleh beberapa kerat blogger yang kutip berita dari tepi jalan (guna pakai ungkapan Encik Rizal Mansor), Perdana Menteri naik gabra dan nak tutup 1MDB?

Betul ka? Ini kita kena tanya jurucakap Kabinet mengenai 1MDB, Ahmad Husni Hazadlah. Itu pun kalau Ahmad Husni bercakap dengan atau atas persetujuan Kabinet.

Tapi surat khabar milik MCA, The Star kata, 1MDB akan ditutup menjelang awal tahun depan.

Kalau nak tutup, apa hal pula buat rancangan supaya para pelabur Abu Dhabi suntik AS$4.5 bilion (kira-kira RM16.4 bilion) ke dalam 1MDB untuk bayar balik hutang 1MDB sebanyak RM42bil itu?

Dua peminjam Abu Dhabi itu ialah International Petroleum Investment Company (IPIC) dan unit pelaburannya, Aabar Investments. Inilah syarikat Arab yang jadi “rakan kongsi” Jho Low dalam urus niaga dengan 1MDB.

Khadem al Qubaisi "kawan" Jho Low di IPIC kena lucut jawatan
Jadi bukan tutuplah, tapi atur balik perniagaan supaya boleh terus berhutang untuk bayar hutang. Masih cerita gali lubang baru untuk timbus lubang lama.

IPIC dan Aabar akan beri hutang baru RM16.4 bilion untuk bayar balik sebahagian daripada hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion, termasuk dari IPIC dan Aabar. AS$1 bilion sudah pun dimasukkan ke dalam akaun 1MDB.

Ikut berita The Star, 1MDB akan dipecahkan tiga, iaitu Tanah/Projek Tun Razak Exchange (TRX), Tanah/Projek Bandar Malaysia dan penjanaan elektrik  di bawah Edra Global Energy Sdn Bhd.

Pankalan TUDM Sungai Besi jadi Bandar Malaysia
IPIC dan Aabar tentulah tak akan suntik RM16.4 bilion kalau tak dapat cagaran yang berharga atau saham yang berbaloi. Rasa-rasanya mereka mahu saham dan bukan cagaran.

IPIC/Aabar Akan Dapat Saham Edra?

Maklumat tepi jalan kata, IPIC/Aabar mungkin mendapat hingga 49 peratus saham Edra Energy apabila disenaraikan atau dijual melalui pengeluaran persendirian.

Kita tidaklah mahu berburuk sangka dengan berkata mungkin duit RM16.4 bilion itu sebenarnya sebahagian daripada hutang 1MDB yang Dr Mahathir kata tidak dapat dikesan.

Tutup atau susun semula 1MDB tidak mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak-pihak yang mereka cipta 1MDB, khususnya Mohd Najib Abdul Razak selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Penyiasatan ke atas 1MDB wajib diteruskan. Alhamdulillah saya mendapat maklum daripada sumber-sumber tepi jalan yang rapat dengan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) bahawa banyak maklumat sulit sudah didapati.

Malangnya maklumat itu mungkin lebih buruk daripada yang kita ketahui selama ini. Besar kemungkinan lebih banyak bank dan institusi kewangan tempatan yang terdedah kepada krisis hutang 1MDB, termasuk institusi yang berkaitan eksport dan import. Dikhabarkan juga bahawa ada cek bernilai beratus juta dolar bertukar tangan.

Agaknya kerana sebab itulah Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tergesa-gesa memberi taklimat kepada Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Shahrir Abdul Samad yang pernah jadi Pengerusi PAC. Shahrir adalah antara penyokong kuat Mohd Najib.


Orang Putih penasihat media Mohd Najib
Arul Kanda tidak boleh jumpa PAC kerana kononnya berada di luar negara tetapi sampai saja di Kuala Lumpur beliau bergegas jumpa Shahrir yang khabarnya diiringi penasihat media Mohd Najib, Paul Stadlen.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: