KUALA LUMPUR - Seramai 12 anggota polis ditahan berhubung kes penyeludupan manusia di sempadan Malaysia-Thailand berikutan penemuan 139 kubur dan 28 kem di Wang Kelian, Perlis, kelmarin, lapor sebuah portal.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan anggota polis berkenaan manakala empat lagi polis ditahan agensi itu sendiri.

"Ia masih dalam siasatan sama ada mereka terbabit secara langsung atau hanya menjadi orang tengah kepada sindiket penyeludupan itu untuk masuk ke Malaysia.

"Kita akan siasat semua pihak termasuk Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Imigresen, Renjer Negeri Perlis, Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Bukan hanya polis atau anggota penguatkuasa saja, sesiapa yang ada bukti terbabit dengan penyeludupan ini kita akan ambil tindakan," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Sebelum itu beliau menjawab soalan berhubung usul tergempar mengenai penemuan 139 kubur dan 28 kem mangsa pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand.

Usul tergempar itu dibahaskan selama sejam bermula 4.30 petang tadi, selepas dikemukakan Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) pagi tadi dan diluluskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.

Dalam pada itu ditanya mengenai gesaan pembangkang supaya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kubur besar berkenaan, Wan Junaidi berkata, setakat ini tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Tak semua benda perlu ada RCI. Agensi polis ada 12,000 anggota penyelidikan, ...kita akan siasat dari segenap segi," katanya.

Bagaimanapun, Dr Wan Junaidi berkata ia terpulang kepada kerajaan sama ada untuk menubuhkan RCI atau tidak.

"Biar kerajaan kumpulkan cadangan daripada semua ahli Parlimen, barulah perkara ini boleh dibincangkan," katanya.

Cadangan mengenai penubuhan RCI diajukan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang) ketika membahaskan usul itu.

Sementara itu, Dr Wan Junaidi memberi jaminan kerajaan akan memperhebatkan kerjasama dengan Thailand dalam mengawal keselamatan di sempadan.

"Lokasi penemuan ini sangat susah diakses dari Malaysia.

Untuk sampai ke tempat itu, kita perlukan sekurang-kurangnya tiga jam berjalan kaki.

Di sebelah Malaysia sangat curam tetapi mudah diakses dari Thailand. Mungkin ini antara sebab sindiket ini memilih kawasan berkenaan," katanya.

Pada Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 139 kubur pelbagai saiz di kawasan seluas 11 kilometer persegi di Gunung Perlis, Wang  Kelian, Perlis.

Pihaknya juga turut menemui satu mayat yang hampir reput dan sejumlah 28 khemah yang dipercayai pernah digunakan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan  manusia yang ditinggalkan kosong sejak beberapa bulan lalu.

Mengikut KPN, penemuan itu adalah susulan daripada Ops Wawasan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) yang  dijalankan pihaknya sejak 11 Mei lalu.

Setakat ini, lebih 60 kubur besar pelarian Rohingya turut ditemui di beberapa lokasi di wilayah Songkla yang bersempadan dengan Malaysia.