MALAYSIAKINI
Anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli mempertahankan dirinya daripada
dakwaan mengutip dana secara haram melalui kempen 'Tutup 1MDB' yang
dilancarkannya minggu lalu.
Katanya, tindakan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan
(NOW), NGO yang diasaskannya, mengutip sumbangan tidak melanggar
undang-undang.
NOW didaftarkan bawah akta syarikat dan susulan itu kempen beliau
diserang hebat di Internet oleh pengguna maya pro-BN, yang dipercayai
Rafizi sebagai “askar upahan”.
“Ini
tindakan murahan oleh Umno kononnya untuk mengalihkan perhatian dari
skandal RM42 bilion 1MDB dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
“Lalu dibayarnya aktivis upahan ini untuk membuat bising untuk menutup kemarahan rakyat,” katanya.
Rafizi berkata akta syarikat tidak menghalang entiti bawahnya beroperasi
bagi tujuan bukan keuntungan dan menjadi amalan biasa banyak rumah amal
dan NGO lain.
“Tindakan mengutip derma oleh entiti yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat tidak menyalahi undang-undang dan biasa dibuat.
“Contohnya, media-media Umno seperti Utusan, TV3 dan lain-lain sering melancarkan tabung memohon derma dari rakyat.
“Ini sama sahaja dengan tabung #tutup1MDB yang dilancarkan NOW ,” katanya.
Rafizi juga menegaskan NOW menguruskan dana itu secara telus dengan mengumumkan kutipan setiap hari dan tujuan kutipan dibuat.
“Apabila pembayaran dibuat, NOW juga akan mengumumkan kepada siapa
bayaran itu dibuat. Tidak timbul soal penyelewengan,” katanya lagi.
Rafizi pada 21 Mei lalu meminta orang ramai menyumbangkan RM10 setiap
seorang bagi menjayakan kempen “Tutup 1MDB” melalui tindakan mahkamah
dan kaji selidik awam.
NOW menjangkakan permohonan injunksi terhadap Kumpulan Wang Simpanan
Nasional (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji (TH)
dapat difailkan minggu depan susulan dakwaan pelaburan cuai dengan 1MDB.
Bafia, AMLA tak berkenaan
Menulis di Facebook hari ini, Rafizi juga berkata banyak pihak mendaftar
bawah akta syarikat dan bukan Pendaftar Pertubuhan susulan pelbagai
kerenah, seperti “ugutan mengharamkan DAP” sebelum ini.
Mengulas aspek undang-undang, Rafizi berkata Akta Bank dan
Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia) dan Akta Pencegahan Pengubahan
Wang Haram yang dibangkitkan pengkritiknya juga tidak tepat.
“Akta Bafia yang disebut Ramesh Rao tidak wujud lagi dan sudah dihapuskan.
“Akta AMLA yang disebut juga tidak berkaitan dengan kutipan derma seperti ini ,” kata Rafizi yang juga naib presiden PKR.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat undang-undang mencegah orang ramai
tanpa lesen mengutip deposit seperti bank atau firma pelaburan
dilesenkan mengutip deposit.
Peruntukan itu, katanya lagi, khusus bagi tujuan pelaburan dan tidak terpakai bagi kutipan derma terbuka seperti dianjurkan NOW.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan