KOTA BHARU - “Kalau berlaku apa-apa selepas ini, pihak DAP dan
siapa-siapa pun tidak boleh menyalahkan Pas,” kata Timbalan Pesuruhjaya I
Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Tanpa menjelaskan perkara sebenarnya yang bakal berlaku sama ada Pas
keluar dari PR atau sebagainya, Mohd Amar berkata, perkara berkenaan
terjadi kerana melihat kepada kelantangan pimpinan sesama PR seperti
tidak menghormati Pas.
Menurutnya, dalam situasi sekarang pelbagai kemungkinan boleh berlaku
pada masa akan datang dan ini kerana orang Pas sendiri mempunyai hati
serta perasaan apabila dihina apatah lagi menyentuh mengenai Presiden,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Apabila Presiden (Abdul Hadi) mereka dihina dan dikata macam-macam
mungkin mereka akan bertindak balas dan kemungkinan akan berlaku lebih
dari yang sepatutnya.
“Sebab itulah kalau berlaku apa-apa selepas ini maknanya dia kena sedia
dan terima dan jangan salahkan siapa-siapa,” katanya kepada media
selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim
semalam.
Mohd Amar mengakui, akhir-akhir ini tindakan DAP sudah melebihi
daripada sepatutnya apabila berani menyerang Presiden Pas secara terbuka
menggunakan bahas yang dianggap kasar.
Mengulas lanjut mengenai kritikan terhadap Abdul Hadi secara terbuka
itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, jika dilihat
dari sudut negatif, DAP sengaja menimbulkan provokasi yang
kemungkinannya untuk mendesak Pas keluar dari PR.
Ditanya, sama ada sekarang adalah masa sesuai untuk Pas memikirkan
semula hubungan dalam PR, Mohd Amar berkata, keputusan diserahkan
kepada muktamar.
“Muktamar sahaja yang boleh mengubah keputusan…. Kita tengok orang Pas
memang merasainya dan amat tidak berpuas hati dengan sikpa yang
ditunjukkan DAP kerana sudah lebih… Ini sesuatu yang sukar untuk kita
terima.
“Ini (kelantangan) tidak dapat menenangkan suasana dan boleh
menimbulkan ketegangan perasaan dalam kalangan ahli Pas sendiri. Ini
tidak sepatutnya berlaku. Jika DAP sendiri betul-betulkan sayang PR dia
sepatutnya menjaga tingkah laku dan perkataan,” katanya.
Mohd Amar juga menyamakan pihak yang suka mengkritik pemimpin dalam parti mereka sama seperti DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan