BESUT - Keputusan pertukaran guru antara negeri-negeri bagi pertengahan tahun ini pertama kalinya dibuat menggunakan sistem lampu isyarat, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh di sini.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, keputusan permohonan guru untuk bertukar ke negeri-negeri pilihan mereka dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu opsyen.

"Sistem lampu isyarat itu digambarkan seperti lampu hijau sekiranya  permohonan yang dibuat bertepatan dengan kekosongan yang ada atau hijau dengan hijau maka baharulah permohonan itu diluluskan," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Projek Usahawan Empower di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Katanya, permohonan hanya akan dilayan sekiranya ada kekosongan mengikut opsyen dan menurutnya antara sebab permohonan tidak dilayan adalah kerana tiada kekosongan di tempat yang dipohon.

Beliau berkata, kekosongan yang terdapat di negeri-negeri ada dipaparkan secara dalam talian menerusi laman web kementerian.

Idris berkata, permohonan untuk bertukar ke tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu merupakan paling banyak diterima.

Bagi sekolah rendah terdapat 2,000 permohonan untuk ke Kelantan diikuti Kedah sebanyak 1,000 permohonan dan 900 permohonan ke Terengganu manakala sekolah menengah pula 2,000 permohonan untuk ke Kelantan, Terengganu (1,000 permohonan) dan Kedah (700 permohonan), katanya.
  
Katanya di Sarawak membabitkan masing-masing 1,500 permohonan pertukaran daripada guru sekolah rendah dan sekolah menengah manakala di Sabah sebanyak 700 permohonan daripada sekolah rendah dan 900 daripada sekolah menengah. - Bernama