Ahad, 31 Mei 2015

70% asnaf, remaja tak solat

Oleh: NAZLI IBRAHIM


AMPANG: Lebih 70 peratus golongan asnaf di Selangor tidak mengerjakan solat hasil kajian yang dijalankan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perangkaan juga menunjukkan ramai remaja turut tidak menunaikan rukun Islam kedua itu.

“Kita dah lancarkan kempen Kaabah Kiblatku. Mesej utama mengingatkan masyarakat Islam di Selangor bahawa solat perkara wajib dilakukan kerana perangkaan mendapati jumlah peratusan tidak solat tinggi.
mark short yb ahmad yunus
“Di dalam membangun negeri, kita juga ingin membangun masyarakat. Mungkin secara umumnya, tak ada statistik tepat tetapi ini sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya solat dan kita bawa mesej secara simbolik dalam Kaabah Kiblatku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutup Kursus Pengurusan dan Kepimpinan Ketua-Ketua Kampung Selangor Siri 4/2015 di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Program Kaabah Kiblatku dilancarkan Dr Ahmad Yunus di Masjid Jamiul Ehsani Kampung Sijangkang, Kuala Langat sempena Karnival Kampungku Kesayanganku daerah itu, pada 23 Mei lalu.

Ia bagi meningkatkan ketepatan arah kiblat khususnya di kawasan tumpuan awam termasuk bangunan milik persendirian.

Dr Ahmad Yunus berkata, pemilik bangunan, kediaman atau persatuan boleh mendapatkan panduan arah kiblat yang tepat dengan bayaran RM50 sahaja.-NFN-


Tiada ulasan: