SHAH ALAM – Polis Selangor akan menjalankan siasatan terperinci
sekiranya terdapat penglibatan orang dalam kes pemalsuan nombor
pendaftaran kenderaan dan cukai jalan palsu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah
berkata, ia susulan daripada tertumpasnya kumpulan samun pecah rumah dan
curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.
“Pada 30 April lalu, suspek bertindak memecah masuk rumah ketika mangsa
sedang tidur. Selepas menyamun, suspek melarikan kenderaan mangsa.
“Bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Kinrara
dan menahan empat suspek termasuk dua wanita berusia 30 hingga 36
tahun, pada 26 Mei lalu, kira-kira jam 1 pagi,” katanya pada sidang
media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, semalam.
Menurut Adnan, ketika serbuan kesemua suspek cuba meloloskan diri melalui pintu belakang, namun gagal.
“Sindiket ini bergerak licik dengan memecah masuk rumah kemudian mencuri kenderaan mangsa.
“Kenderaan yang dicuri dikumpulkan dan diletak berhampiran rumah suspek
sebelum dijual, manakala nombor pendaftaran kenderaan dan cukai jalan
diubah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Hasil serbuan, polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan
untuk memecah masuk rumah, wang tunai, telefon bimbit dan beg tangan
berjenama.
“Polis turut merampas enam kenderaan dalam dua operasi. Antara yang
dirampas, Honda City, Perodua Kancil dan Volkswagen Golf GTI. Kesemua
nilai rampasan melebihi RM300,000.
“Penemuan kereta mewah jenis BMW di Machang, Kelantan yang dipercayai
dicuri, disyaki dilakukan kumpulan sindiket sama,” katanya.
Semakan juga mendapati, salah seorang suspek mempunyai beberapa rekod
jenayah lampau melibatkan kes pecah rumah, curi dalam bangunan dan
dadah.
“Dua suspek direman sehingga esok (hari ini), manakala dua lagi suspek sehingga 28 Mei,” katanya.
Adnan berkata, bermula 1 Januari 2015 hingga 25 Mei lalu, 62 kes pecah
rumah dan curi kenderaan pelbagai jenis dilaporkan di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan