Khamis, 28 Mei 2015

Wahai pemimpin PR, Kami merayu kembalilah ke meja rundingan




Oleh Mohd Sofi Abdul Wahab 

Wahai pemimpin Pakatan Rakyat,

Setiap hari kami rakyat mengimpikan sebuah kerajaan yang hebat, telus, berkebajikan, tidak rasuah dan tidak boros.

Setiap hari kami merindukan pemimpin yang tegas, berani, berakhlaq, telus, sederhana, bersih dan berjiwa rakyat serta mengutamakan rakyat bukan keluarga dan kroni.

Setiap hari kami mendambakan sebuah kerajaan yang tidak pandai berhutang, kerajaan yang berjimat cermat, adil, mengamalkan demokrasi sepenuhnya, saksama, mentadbir dengan telus, mengamalkan dasar-dasar yang makruf dan mencegah kemungkaran, demokratik dan sebagainya.

Setiap hari kami kepingin untuk mengecapi kesejahteraan hidup dengan kos sara hidup yang tidak meningkat tanpa kawalan, pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan percuma, kemudahan awam yang baik dan sebagainya.

Setiap hari kami mengharapkan dasar-dasar kerajaan yang membantu rakyat untuk memajukan diri, meningkatkan pendapatan perkapita secara menyeluruh, bantuan-bantuan umpama memberi kail bukannya ikan seperti sekarang, dasar yang jelas yang memberikan sinar kepada masa depan kami dan anak cucu kami.

Wahai pemimpin PR,

Semenjak PRU 2008 harapan kami sedikit menampakkan sinar. Apatah lagi keputusan PRU 2013 makin memberikan harapan kepada kami kerana PR berjaya meraih undi popular rakyat lebih dari 50 % berbanding Barisan Nasional.

Kami sudah muak dengan kerajaan dan pemimpin BN. Pemimpin mereka silih berganti tetapi sistem dan dasar kerajaan serta perangai pemimpin tetap sama. Skandal demi skandal berlaku, pembaziran membarah, hutang melambung tinggi, rasuah terus meningkat, kos sara hidup semakin menghimpit, demokrasi hanya indah pada nama, janji tinggal janji, jenayah membimbangkan, keselamatan rakyat tidak terjamin dan seribu satu masalah yang gagal diselesaikan.

Satu semi satu skandal dan penyelewengan didedahkan, laporan ketua audit saban tahun melaporkan ketirisan, pemborosan dan macam-macam masalah. Rakyat semakin tertekan dan sengsara dengan sistem-sistem yang tidak masuk akal di saat rakyat sangat memerlukan pembelaaan kerajaan dan pimpinannya. Semuanya bagaikan tiada penghujung.

Pada masa yang sama, PR membuktikan kejayaan mereka mentadbir Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang dengan dasar-dasar yang baik kepada rakyat. Kami mengintai dan mengimpikan sesuatu yang indah andai kerajaan pusat berjaya diterajui PR pada PRU 14 nanti.

Wahai pemimpin PR,

Pemimpin-pemimpin PR tidak ada seorang pun yang disabitkan dengan rasuah, salah laku dan sebagainya sejak dari pemerintahan PAS di Kelantan sejak 1990.

Pemimpin PR tidak ada yang kaya raya, baik diri sendiri maupun anak pinak dan saudara mara mereka tiada yang menjadi jutawan dan hartawan.

Kini harapan kami nampak samar dan kelabu. Semuanya gara-gara pimpinan PR bergaduh dan bercakaran sesama sendiri dek kerana tujuan politik dan nafsu amarah mereka sendiri. Saban hari mereka berbalah dalam media. Saban hari kami menyaksikan pemimpin-pemimpin PR semakin tidak matang dan tidak professional. Apakah kamu tidak ada otak atau tidak ada sifat diplomasi sehingga masalah sebegini tidak dapat diselesaikan.

Ke mana kami ingin mengadu dan mengharapkan belas kasihan dan ihsan. Hendak harapkan pemimpin BN kami sudah tidak percaya dan hilang keyakinan terhadap mereka.

Hanya kepada kamu sahaja wahai pimpinan PR yang kami harapkan. Kamu semua juga membuktikan ketelusan, kebaikan dan karisma kamu sebelum ini.

Wahai pemimpin PR,

Kami merayu kembalilah ke meja rundingan dan selesaikanlah apa juga masalah secara professional dan anak jantan bukan secara pukul curi yang akhirnya mematikan PR itu sendiri dan seterusnya mematikan harapan rakyat.

Dengarlah keluhan dan rayuan kami rakyat marhaen yang dahagakan pimpinan yang telus, bersih dan hebat.
Hanya pada kamu sahajalah harapan kami. .......Andainya kamu tidak dapat selesaikan masalah kamu .....kami terpaksalah merelakan diri kami ditindas, dihimpit dan dicengkam dengan sistem kerajaan BN serta perangai pemimpin kerajaan yang ada sekarang.

Dengarlah rayuan kami .....

Tiada ulasan: