Khamis, 28 Mei 2015

Abdul Hadi penentu masa depan Pas dalam PR

Pas
 
 
SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat sebagai penentu masa depan Pas dalam pakatan pembangkang jika beliau kembali dipilih perwakilan Pas untuk memimpin parti itu dalam Muktamar Pas ke-61 akan datang.
 
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, kedegilan Pas berpegang pada pendirian sekarang hanya akan menjadi penghalang utama usaha meleraikan kemelut dalaman PR itu. 
“Sekarang bola berada di kaki Haji Hadi. Ketentuannya banyak bergantung bagaimana Pas memberi tindak balas...selagi Pas di bawah kepimpinan Hadi berpendirian seperti sekarang dan tidak mahu berganjak atau berolak ansur, ini akan menjadi batu penghalang utama dalam usaha untuk meleraikan kemelut politik dan ketegangan yang wujud dalam kalangan PR.
 
“Tapi saya fikir, kalau PR mahu dilihat sebagai satu pakatan yang boleh digantung harap oleh rakyat Malaysia, mereka tidak ada pilihan kecuali harus menyelesaikan masalah kerenggangan dan ketegangan sekarang. Kalau tidak ini akan beri kesan besar, bukan sahaja dari segi persepsi rakyat tetapi akan beri kesan dari segi kerjasama dan seterusnya prestasi mereka dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada Sinar Online.
 
Menurutnya, pakatan pembangkang yang diperlukan adalah satu pakatan yang padu dan mempunyai komitmen untuk merealisasikan apa yang telah dipersetujui dalam Buku Jingga.
 
“Ini adalah waktu mereka untuk menjalinkan kerjasama, selesaikan masalah yang ada dan bergerak ke hadapan ketika BN berdepan dengan pelbagai kemelut dan isu.
 
“Wan Azizah (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) boleh saja mengambil inisiatif untuk membawa mereka ke meja rundingan. Masalah sekarang adalah hubungan DAP-PKR-Pas. antara PKR-DAP tidak ada masalah...ada semacam keserasian dan pengertian kerana mereka sedar untuk bergerak ke Putrajaya, PR tanpa Pas juga bermasalah.
 
“Pas tanpa dua lagi parti komponen itu juga bermasalah. Jadi, kalau betul-betul mereka menyimpan impian untuk melangkah ke Putrajaya entiti ketiga-tiga parti politik itu tidak dapat dipisahkan. Kalau tidak, ini hanya akan menjadi impian kosong sahaja,” katanya.
 
Mengulas lanjut, beliau akui jika keputusan memutuskan hubungan kerjasama itu diambil Pas, ia akan sukar untuk ditautkan kembali pada masa depan.
 
“Nasib hubungan kerjasama itu bergantung pada siapa yang akan menang dalam pemilihan. Sama ada yang pro-ulama atau pro-liberal. Jadi, kalau betul-betul majoriti itu dimenangi oleh ulama, ini memberi isyarat besar kepada hubungan PR.
 
“Kalau nak putuskan hubungan itu, satu tindakan yang drastik, yang memberi kesan berpanjangan dan mendalam terhadap hubungan mereka seterusnya kesan dalam pilihan raya akan datang serta politik Malaysia pada masa depan. Untuk menjalinkan kembali hubungan yang telah putus, itu bukan suatu yang mudah nanti.
 
“Barangkali sebelum keputusan itu diambil, amat penting bagi pimpinan tertinggi Pas untuk duduk semula berbincang secara mendalam, apakah ini suatu tindakan yang wajar diambil atau mengambil jalan penyelesaian lain,” katanya.
 
Sementara, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, kemungkinan besar jika Abdul Hadi menang dalam pemilihan nanti, beliau akan mengumumkan sesuatu bagi penentu masa depan dan hala tuju parti itu dalam PR.
 
“Sekarang nampak hubungan mereka semakin tak erat. Jika beliau (Abdul Hadi) menang tapi di bawah-bawahnya masih lagi golongan yang ‘moderate’, mungkin beliau akan ambil keputusan yang berbalik semula kepada PR. Kemungkinan besar Pas akan kekal dalam PR.
 
“Tapi kalau golongan ulama konservatif pun ada banyak dalam kepimpinan, saya tak pasti sama ada mereka akan keluar juga sebab setahu saya Pas tidak mahu keluar, mereka mahu DAP yang keluar dengan PKR. 
 
"Jadi, kalau itu berlaku, kemungkinan DAP dan PKR keluar dan bentuk pakatan lain tapi Pas tidak termasuk dalam pakatan itu,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: