Khamis, 28 Mei 2015

Saham FGV jatuh: Pahang rugi hampir RM500 juta

 
Kerajaan Pahang memiliki lima peratus saham dalam FGV atau menyamai 182 juta unit saham.


fgv


PETALING JAYA: Kerajaan Pahang dikatakan menanggung kerugian hampir RM500 juta akibat kejatuhan harga saham Felda Global Venture (FGV) ke paras terendah RM1.92 seunit.

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK), Lee Chean Chung berkata, nilai saham yang dimiliki Kerajaan Pahang hanya bernilai RM349,440,000 susulan kejatuhan itu.

Ini bermakna, katanya, kerajaan Pahang menangung kerugian sebanyak RM478,660,000, ataupun 2.5 kali ganda Anggaran Perbelanjaan Mengurus (RM185.09 juta) Negeri Pahang untuk tahun 2015.

Untuk rekod, Kerajaan Pahang memiliki lima peratus saham dalam FGV atau menyamai 182 juta unit saham.
Kerajaan Pahang membeli saham itu pada 2013 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM829,954,466.25 dan ketika itu harga saham RM4.55 seunit.

Chean Chung berkata, peneroka yang telah membeli 800 unit saham dengan membayar RM3,580 semasa ia disenaraikan, terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2,024 kerana saham itu kini hanya bernilai RM1,536.

“Saya faham bahawa Felda merupakan aset penting dan sentimental bagi Pahang, dan kerajaan UMNO/BN membuat pelaburan saham berkenaan, mungkin dengan niat untuk menjana pendapatan.

“Namun, keputusan tersebut kelihatan kurang tepat sehingga warga Pahang mungkin terpaksa menanggung kerugian beratusan juta atas kesilapan kerajaan ini,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu itu berkata, kerugian itu menimbulkan persoalan adakah Kerajaan Pahang membuat pinjaman untuk membeli saham FGV.

Dia juga mahu Kerajaan Pahang memberi penjelasan adakah peneroka yang menanggung kerugian akan dibantu.

“Siapakah yang mewakili Negeri Pahang untuk menguruskan pelaburan dalam FGV dan apakah strategi Pahang untuk berhadapan dengan kemerosotan nilai ini,” katanya.

Tiada ulasan: