Sabtu, 30 Mei 2015

KLIA: Antara halal, haram dan syubhah

 
Daripada 128 kafe di KLIA, hanya 27 daripadanya yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh kerajaan.


klia_q


PETALING JAYA: Tiada bezanya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) dengan lapangan terbang tersohor dunia yang lain seperti Charles de Gaulle di Perancis dan Kansai di Jepun.

Pengurusan yang menepati piawaian antarabangsa menjadikan kebanyakan pengguna cukup selesa dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Tetapi jika dilihat daripada sudut seorang Islam, banyak perkara yang perlu diperbaiki khususnya yang membabitkan penyediaan makanan.

Sekilas pandang banyak kafe dan rangkaian restoran yang menawarkan pelbagai menu dan juadah, daripada restoran lima bintang sehingga kepada rangkaian makanan segera.

Di sebalik deretannya, isu halal haram di KLIA tetap menjadi bualan.

Status halal di kebanyakan kafe di pintu masuk dan keluar negara itu sebenarnya masih samar dan meragukan.

Jika dinilai daripada perangkaan jumlah yang menerima pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Malaysia (Jakim), jumlahnya tidak sampai satu pertiga.

Di sebuah negara yang mana majoriti rakyatnya beragama Islam, hanya 27 daripada 128 kafe dan restorannya mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh kerajaan.

Angka berkenaan menimbulkan tanda tanya, sejauh mana Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) serius dalam menangani isu halal haram sekaligus menjaga sensitiviti umat Islam.

Selaku premis yang terletak di pintu masuk utama negara melalui jalan udara, perkara itu perlu diberi penekanan.

Islam sebagai Agama Rasmi negara ini perlu diambil kira dalam isu berkenaan dan tidak sepatutnya syarikat berkenaan memandang ringan keperluan umat Islam.

Perlu diingat, tuntutan halal bukan setakat untuk masyarakat Islam negara ini, malah ia untuk semua penggunanya yang beragama Islam.

Tidak dapat dinafikan, prosedur untuk mendapat pengesahan halal daripada pihak berkuasa agak rumit, tetapi itulah tuntutan.

Sebagai seorang Islam, segala urusan harian tertakluk kepada keperluan syarak dan soal halal dan haram terangkum dalam perkara itu.

Sesetengah pihak mungkin berpandangan, pengguna yang teliti dengan soal itu mempunyai pilihan untuk memilih kafe dan restoran.

Kenyataan itu betul, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang kurang pengetahuan atau pertama kali tiba di KLIA?

Sebagai individu yang lahir di kalangan masyarakat majmuk dengan pelbagai agama, tidak dapat dinafikan wujudnya keperluan untuk memenuhi permintaan pengguna bukan Islam tetapi jika dibandingkan dengan nisbah, mengapa restoran yang mendapat pengesahan halal amat ciput.

Mungkinkah di mata pengurusan MAHB, memenuhi tuntutan orang Islam menjadi perkara remeh tetapi mereka perlu ingat, ketiadaan sijil halal di premis yang kononnya menjual makanan halal amat memalukan di negara yang bernama Malaysia, yang pernah menwar-warkan kepada dunia bahawa ia sebuah negara Islam contoh.

Razali Awang adalah bekas Wartawan dan Penerbit Unit Berita Luar Negara TV3

Tiada ulasan: