Buku berkenaan amat cenderung ke arah
mencetuskan pergeseran dan perbalahan di kalangan rakyat Malaysia
terutamanya penganut Kristian dan Islam.
KUALA LUMPUR: Buku bertajuk ‘The Golden Son Of The Kadazan’ tulisan Bernard Sta Maria diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mengandungi kritikan yang melampau terhadap Kerajaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat di bawah perintah Keselamatan Dalam Negeri (tegahan mengenai penerbitan) mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
“Buku ini amat cenderung ke arah mencetuskan pergeseran dan perbalahan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya penganut Kristian dan Islam.
“Kandungan buku ini dikhuatiri boleh memudarat atau mungkin memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam jika tidak dikenakan perintah larangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking, yang mengemukakan soalan itu dalam Dewan Rakyat pada pada 21 Mei lalu.
Jawapan bertulis itu diedarkan kepada media dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Ahmad Zahid berkata, buku yang bertajuk ‘Kristianisasi Dan Gejala Murtad’ oleh Mohd Farhan Bin Abdullah pula tidak perlu diharamkan kandungan buku berkenaan memaparkan kisah hidup dan pengalaman penulis ketika masih lagi beragama Kristian.
“Bahkan,ia juga memaparkan kehidupan penulis semasa masih beragama Kristian sebagai suatu sempadan kepada umat Islam,” katanya.
Zahid bagaimanapun berkata, KDN masih lagi meneliti lebih lanjut mengenai buku ini, jika ia menyalahi peruntukkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan