Jumaat, 29 Mei 2015

'Anak tiri' merungut terabai dari RMK11

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan Pulau Pinang terus membangkitkan perasaan tidak puas hati dengan kerajaan pusat yang didakwa terlepas pandang negeri itu sebagai “bandar pemangkin pertumbuhan” dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Ketua menterinya Lim Guan Eng berkata negeri itu walaupun membayar cukai terbanyak, selepas Wilayah Persekutuan dan Johor, masih dipinggirkan dalam rancangan pembangunan terkini itu.

Tahun lalu Pulau Pinang membayar cukai keseluruhan RM6.3 bilion – langsung atau tidak langsung – kepada Putrajaya.

Pulau mutiara itu berada di Wilayah Persekutuan yang membayar RM109.6 bilion dan Johor pula RM8.5 bilion.

“Berapa banyak kita dapat balik? Kita tidak dimasukkan dalam senarai bandar berdaya saing dalam Rancangan Malaysia ke-11 pun,” kata Lim.

Lim, yang juga pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, berkata demikian selepas hadir ke mesyuarat agung tahunan PBA Holdings Bhd hari ini.

Katanya walaupun Pulau Pinang bandar kedua terbesar di wilayah utara, ia masih ditinggalkan dalam rancangan pembangunan.

“Ini menunjukkan bahawa kita dihukum dan dipinggirkan kerana menjadi negeri Pakatan Rakyat, kerana tidak bukan sebahagian daripada kerajaan BN,” katanya.

“Untuk itu, kita dilayan seperti anak tiri,” kata anggota Parlimen Bagan itu.


Tiada ulasan: