Jumaat, 29 Mei 2015

Rahman Dahlan pekena Shafie Apdal

 
Rahman mendakwa semua anggota Kabinet telah diberikan taklimat mengenai 1MDB oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Husni Hanazlah


shafie afdalAbdul Rahman Dahlan



PETALING JAYA: Semua menteri Kabinet telah dimaklumkan status terkini dan hutang yang dihadapi oleh sayap pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, maklumat itu diberikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Husni Hanazlah menerusi beberapa siri taklimat mengenai 1MDB.

Bagi menguatkan kenyataannya, Rahman memuat naik muka depan dokumen bertajuk ’1MDB factsheet’ yang dibentangkan kepada anggota Kabinet.

“Dalam ’1MDB Factsheet’ yang diedarkan dalam Mesyuarat Kabinet, info mengenai status terkini pelaburan, hutang dan harta 1MDB ada dimasukkan,” tulisnya di Twitter.

Status itu sekaligus menafikan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilaporkan berkata Kabinet tidak dimaklumkan mengenai masalah 1MDB.

Shafie berkata, anggota Kabinet lain tidak boleh dipersalahkan kerana mereka sendiri tidak jelas mengenai pelaburan dan masalah yang dihadapi 1MDB.

Beliau membuat penafian itu susulan gesaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya semua anggota Kabinet bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB kerana setiap keputusan dibuat secara bersama.

Rahman menerusi Twitternya menjelaskan, dalam dokumen yang diedarkan kepada menteri Kabinet turut disertakan surat daripada Husni yang meminta anggota Kabinet yang mahukan maklumat lebih atau penerangan lanjut agar menghantar pertanyaan terus kepada beliau.

“Pandangan saya, tidak ada sebab kenapa isu tak cukup penerangan, tak ada penerangan atau tidak dimaklumkan dalam kabinet menjadi polemik,” tulis Rahman.

Tiada ulasan: