Takiyuddin Hassan
KUALA LUMPUR - Rang undang-undang persendirian berkaitan Akta Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) berkemungkinan akan dibentangkan di Dewan
Rakyat dalam tempoh tiga minggu lagi.Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Dewan Rakyat kini sedang mempertimbang untuk menyelitkan rang undang-undang tersebut pada minggu terakhir persidangan.
“Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) bagi satu indikasi kepada kita (kerajaan negeri Kelantan), beliau akan cuba supaya usul ini dibawa ke dalam peraturan mesyuarat. Speaker sedang teliti untuk beri lampu hijau kerana ini melibatkan Akta Kerajaan Persekutuan.
“Sama ada bila dan sebagainya, ia terpulang kepada Speaker. Kita harap dapat, sebab perkara ini bukan benda kontroversi dan sensitif kepada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam sesi Parlimen yang lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang tidak berjaya membentangkan rang undang-undang tersebut yang diletakkan di senarai terakhir peraturan mesyuarat kerana kesuntukan masa.
Dalam pada itu, Takiyuddin melahirkan keyakinan bahawa rang undang-undang itu akan mendapat sokongan majoriti mudah.
“Bagi saya majoriti mudah itu tak ada masalah kerana ini melibatkan kepentingan semua negeri. Jadi (ahli parlimen) yang bukan Islam kena sokonglah sebab kawasan mereka pun ada orang Islam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan