SHAH ALAM – Hari ini genap setahun PRK Parlimen Teluk Intan berlalu namun janji-janji yang dilafazkan BN kepada pengundi di kawasan itu hanya tinggal janji, dakwa Dyana Sofya Mohd Daud.

Calon DAP bagi PRK Parlimen Teluk Intan itu berkata, walaupun sudah setahun, namun manifesto yang dilaung-laungkan BN ketika berkempen nampaknya masih belum direalisasikan.

"Sudah pasti pengundi Teluk Intan juga masih ingat dengan semua janji-janji manis yang ditawarkan oleh calon BN ketika kempen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengimbau kembali manifesto BN, calonnya yang kini sudah pun bergelar Ahli Parlimen Teluk Intan, Mah Siew Keong pernah berjanji untuk melaksanakan penambahbaikan kemudahan jalur lebar dan juga mewujudkan zon wifi di Teluk Intan.

Siew Keong juga pernah berjanji untuk membina pusat pengajian atau universiti terkemuka untuk penduduk Teluk Intan.

“Walaupun Teluk Intan disenaraikan di dalam laman TMNet sebagai zon Unifi, tinjauan mendapati perkhidmatan tersebut masih belum wujud di dalam kawasan Teluk Intan. Adakah penyediaan infrastruktur tersebut telah dimulakan dan apakah usaha yang telah dilakukan untuk menepati janji ini?

“Berkenaan pembinaan universiti terkemuka,sehingga kini, lot tanah yang telah dikenalpasti untuk pembinaan sebuah universiti masih belum digazetkan dan masih lagi di bawah nama sebuah syarikat tersenarai awam. Pelan terperinci pembangunan universiti juga masih belum diketahui,” katanya lagi.

Selain itu menurut Dyana lagi, Siew Keong yang merupakan Presiden Gerakan itu turut berjanji untuk menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden, selain berjanji untuk memulakan projek tebatan banjir di bandar tersebut.

“Pada Disember tahun lalu, kerajaan negeri menyatakan tiada cadangan menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden dan sekali gus menidakkan janji yang dibuat oleh calon BN yang kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Anggaran kos yang diperlukan untuk Rancangan Tebatan Banjir Teluk Intan adalah sebanyak RM360 juta. Walaupun RM30 juta telah diluluskan untuk memulakan projek tebatan banjir tersebut, apakah garis masa bagi projek keseluruhannya dan bilakah baki peruntukan RM330 juta akan diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran?,” soalnya.

Dyana  dalam pada itu turut mempersoal tindakan Timbalan Perdana Menteri yang mengisitiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan.

“Timbalan Perdana Menteri pada 28 Februari yang lepas telah mengisytiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan.

“Ini bukan perkara baharu kerana pada Mei 2012, Datuk Seri Rais Yatim selaku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah pun mengisytiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan. Adakah pengisytiharan kali kedua oleh TPM itu hanya untuk memperdayakan pengundi?,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Dyana menggesa kerajaan untuk menunaikan janji yang dibuat demi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di Teluk Intan sepertimana yang dijanjikan ketika PRK lalu.