Friday, March 6, 2015

Pernikahan anak PM dijadual 28, 29 Mac

MALAYSIAKINI


 


Majlis perkahwinan anak perempuan perdana menteri, Nooryana Najwa Najib, bersama tunangnya Daniyar Kessikbayev disahkan akan berlangsung pada 28 dan 29 Mac ini.

Majlis perkahwinan anak sulung Datuk Seri Najib Razak pada 28 Mac untuk tetamu kenamaan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), satu sumber yang dekat dengan kabinet memberitahu Malaysiakini minggu ini.

Selain itu, Malaysiakini juga melihat kad undangan perkahwinan Nooryana, 26, bersama Daniyar, 27, yang diadakan keesokannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut kad jemputan pada 29 Mac, majlis persandingan itu akan diadakan antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

Spekulasi mengenai majlis perkahwinan anak sulung Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor mula diperkatakan di kalangan pengguna Internet awal minggu lalu.

Ia menjadi buah mulut apabila gambar-gambar yang dikatakan kad jemputan perkahwinan mereka untuk barisan orang kenamaan tersebar di media sosial, termasuk beberapa blog.

Pejabat Perdana Menteri setakat ini membisu apabila ditanya mengenai majlis perkahwinan yang bermula 7.50 malam 28 Mac.

Ibu Daniyar juga enggan mengesah atau menafikan mengenai perkahwinan tersebut.

Dalam reaksi melalui emel kepada Malaysiakini minggu lepas, Maira Kessikbayev melalui jurucakapnya di New York berkata: "Kami tidak ada komen pada masa ini."

Nooryana dan Daniyar dilaporkan bertemu di Amerika Syarikat, sewaktu pasangan itu melanjutkan pelajaran di universiti.

Bakal menantu perdana menteri juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev, abang kepada bapa tiri Daniyar.

Majlis perkahwinan mereka dikatakan turut akan dibuat di kawasan Parlimen Najib di Pekan, Pahang. Majlis bertandang ke Kazakhstan dijangka diadakan selepas majlis perkahwinan di Malaysia.

Bagaimanapun butirannya belum dapat disahkan.

Pertunangan Nooryana dan Daniyar diadakan di kompleks Perdana Putra di Putrajaya pada 17 Jun 2011 dengan perbelanjaan RM409,767.

Pendedahan itu menimbulkan kontroversi apabila pemimpin PKR Rafizi Ramli mendakwa Pejabat Perdana Menteri (PMO) menanggung kos tersebut - RM522 seorang bagi 36 tetamu kenamaan (VIP), dan RM359.60 seorang 862 tetamu lagi.

Caj pengendalian majlis itu RM81,000, dakwa ahli parlimen itu lagi.

Bagaimanapun PMO menafikan kos itu ditanggungnya, malah berkata ia dibayar oleh Najib sendiri.


No comments: