Friday, March 6, 2015

Adi Putra Kecewa 'Dianaktirikan'


Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
PETALING JAYA: Selepas dua siri pendedahan mStar Online mengenai perkembangan terbaharu genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, banyak pihak mula tertanya-tanya mengapa remaja dengan kebolehan luar biasa itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Malah timbul pelbagai pandangan yang turut mempersoalkan sistem pendidikan negara kerana dilihat tidak mempunyai modul pembelajaran khas bagi golongan genius sepertinya.

Rata-rata melahirkan kebimbangan kerana tidak mahu kisah beberapa kanak-kanak dan remaja pintar yang dilahirkan di negara ini hanyut dan gagal dalam kehidupan mereka kerana kurangnya bimbingan.

Kepada mStar Online, Adi Putra yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-16 pada Januari lalu meluahkan kekecewaannya kerana tidak diiktiraf di negara sendiri sedangkan banyak pihak dari luar negara begitu menghargai bakat dan kebolehan luar biasanya.

Menurut Adi Putra, sepanjang tempoh sedekad selepas kisah mengenainya didedahkan media, tiada pihak yang tampil membantu beliau dan keluarga khususnya mengenai masa depan akademiknya.

Adi Putra tidak pernah berputus asa untuk mengembangkan ilmu matematik yang dianugerahkan kepadanya.

Jauh di sudut hati, Adi Putra tertanya-tanya mengenai punca disebalik ‘sekatan’ yang mungkin wujud terhadapnya daripada terus menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

“Kecewa juga sebenarnya, sebab Adi tak (dapat bantuan). Memang niat Adi nak sambung belajar. Rasa kecewa sebab ada yang dapat ke luar negara, dapat melanjutkan pelajaran, tapi kenapa Adi tak dapat? kecewa sebab itulah.

“Adi kecewa sebab tahu ramai lagi yang macam Adi. Ramai lagi kanak-kanak yang extra ordinary kat Malaysia ni dalam bidang masing-masing.

“Tapi bila Adi tengok ramai yang ke luar negara, dapat tawaran daripada kerajaan, NGO untuk bawa mereka ini ke luar negara, Adi jadi kecewa…pernah terfikir kenapa Adi tak dapat semua itu,” katanya.

Cerita Adi Putra lagi, mungkin ‘kesilapan’ yang dilakukannya kira-kira sepuluh tahun lalu menjadi penyebab mengapa nasibnya tidak terbela.

Jelas Adi Putra, beliau pernah menolak untuk dilantik menjadi ikon sebuah program kecemerlangan akademik.

“Masa itu Adi tanya mana modul? Sebab Adi fikir cuma nak sambung belajar...jadi Adi tanya modul. Tapi mereka suruh sign (tandatangan) dulu dan nanti baru cipta modul.

“Adi terfikir mana ada undang-undang yang mengatakan sign dulu baru dapat tengok benda kan (modul). Jadi Adi tolak tawaran tu. Sejak daripada itu Adi sudah tak dapat perhatian,” katanya.

Pada usia 12 tahun Adi Putra sudah menerbitkan buku Seni Matematik Islam yang mengandungi formula matematik ciptaannya sendiri.

Untuk rekod, Adi Putra pernah menerima tajaan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menampung pembelajarannya di peringkat A-level di Kolej Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menerima sebarang pengiktiran atau sijil kelayakan sungguhpun berjaya menamatkan pengajiannya pada ketika itu.

Tambah Adi Putra lagi, pelbagai pihak pernah menabur janji untuk membantunya melanjutkan pelajaran.

“Terlalu banyak pihak yang janji nak bawa Adi pergi sana sini, nak bagi dana untuk sambung belajar…tapi akhirnya (tak ada).

“Tapi kalau ada tawaran pun, buat masa sekarang ini Adi perlu katakan tidak juga. Adi perlu tanggung keluarga dahulu,” katanya.

Mengimbau kembali ketika zaman namanya masih dijulang, Adi Putra mengakui pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di dua buah universiti terkemuka dunia ketika berusia enam tahun.

“Masih ingat lagi masa berumur enam tahun, Adi ada dapat tawaran daripada University of Oxford dan Harvard University.

“Adi kecil sangat, tambahan pula tawaran itu hanya untuk Adi dan keluarga tak boleh ikut ke sana.

“Jadi Adi fikir i can’t do this. Memang tak boleh nak hidup seorang diri kat sana. Adi baru berumur enam tahun... jadi masa itu Adi tolak,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya terhadap masa depan perkembangan akademik khususnya bidang matematik di Malaysia, Adi Putra yang pernah melancarkan buku matematik pertamanya pada 2011 mahu formula-formulanya digunakan dalam sistem pendidikan negara.

Ibu bapa Adi Putra, Abdul Ghani dan Serihana sentiasa memberi galakan supaya anak mereka berjaya mengejar cita-citanya.

Menurut Adi Putra, beliau masih tertanya-tertanya mengapa pihak berwajib tidak pernah berminat untuk mengkaji formula matematik ciptaanya sedangkan ia diiktiraf sebagai rujukan di negara luar.

“Harapan Adi mungkin mereka boleh ambil formula-formula ini. I’m not saying it’s (modul matematik sedia ada) bad. Banyak perkara bagus, sistem kita memang bagus sebenarnya, memang dah diiktiraf pun.

“Tapi mungkin ada benda lagi yang boleh diperbaiki. Sebagai contoh buku Seni Matematik Islam tulisan Adi, kerajaan Malaysia tak gunakan buku itu tapi ia digunakan oleh kerajaan Brunei. Mereka gunakan sebagai buku rujukan di sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Selain itu tambah remaja tinggi lampai berkenaan, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapanya, Abdul Ghanid Abdul Wahid dan Serihana Elias serta ahli keluarganya yang sering memberi sokongan dan galakan.

Jelas Adi Putra lagi tanpa sokongan orang sekelilingnya, ilmu matematik yang dianugerahkan kepadanya mungkin tidak dapat dikongsi dengan orang luar.

"Terima kasih kepada emak dan ayah yang banyak bantu Adi. Mereka tahu minat Adi dalam bidang matematik dan sentiasa memberi galakan untuk mengejar cita-cita menjadi profesor matematik Islam satu hari nanti," katanya.

No comments: