Laporan
interim berhubung siasatan insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370
yang telah hilang selama setahun akan dikeluarkan tidak lama lagi, bagi
mematuhi peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul
Rahman berkata, siasatan dijalankan mengikut Lampiran 13 - Kemalangan
Pesawat dan Siasatan Insiden bagi Konvensyen Penerbangan Awam
Antarabangsa (Konvensyen Chicago), seperti dilaksanakan mengikut
Peraturan Penerbangan Awam 1996.
Beliau berkata Lampiran 13 Protokol ICAO menggariskan bahawa jika
sebarang laporan kemalangan dan siasatan tidak dapat dimuktamadkan, satu
kenyataan interim perlu dikeluarkan pada setiap ulang tahun insiden.
"Siasatan nahas MH370 dijalankan oleh sebuah badan bebas, yang diketuai
oleh Malaysia kerana Malaysia merupakan negara didaftarkan dan negara
pengendali, dibantu oleh tujuh negara.
"Ketujuh-tujuh negara itu ialah Amerika Syarikat, United Kingdom,
Perancis, China, Singapura, Indonesia dan Australia," kata beliau dalam
taklimat media bersempena ulang tahun pertama insiden kehilangan pesawat
Boeing itu, di Putrajaya semalam.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 krew , hilang
daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke
Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL pada 8 Mac tahun lepas. Pesawat itu sepatutnya mendarat
di Beijing pukul 6.30 pagi hari sama.
Azharuddin berkata, hasil siasatan pasukan penyiasatan antarabangsa,
yang ditubuhkan pada April 2014, tidak terletak di bawah bidang kuasa
DCA tetapi di bawah badan Penyiasatan Kemalangan untuk mengeluarkan
laporan.
"Penyiasat yang Bertanggungjawab bagi Pasukan Penyiasatan Antarabangsa
ialah Datuk Kok Soo Chon, beliau adalah ketua pengarah DCA sebelum saya
dan juga bekas wakil tetap ke Majlis ICAO di Montreal," katanya.
Ketika ditanya tentang perkembangan siasatan, Azharuddin berkata beliau
tidak boleh mendedahkan apa-apa maklumat kerana beliau tidak terlibat
dalam penyiasatan.
Beliau berkata pasukan antarabangsa terdiri daripada Lembaga Keselamatan
Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat, Cawangan Siasatan Kemalangan
Udara Britain, Jabatan Siasatan Kemalangan Pesawat China, Biro Siasatan
Kemalangan Pengangkutan Darat Perancis, Biro Keselamatan Pengangkutan
Australia, pengeluar pesawat iaitu Boeing dan syarikat komunikasi
Britain Inmarsat.- Bernama
No comments:
Post a Comment