Saturday, March 7, 2015

Mangsa kemalangan pencawang elektrik meninggal

MALAYSIAKINI


 
Mangsa terakhir daripada tiga pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang parah akibat kemalangan percikan arka di pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai, di ibunegara meninggal dunia petang semalam.
 
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, juruteknik TNB meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court pada jam 6.55 petang.
 
"Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak," katanya dalam satu kenyataan semalam.
 
Pada 23 Februari lepas, dalam kemalangan kira-kira jam 11.00 malam, tiga warga kerja TNB itu melecur akibat percikan arka ketika pensuisan dibuat selepas selesainya kerja-kerja penyelenggaraan. 
 
Dua rakan sekerjanya, Norizan Abdullah, 59, dan Mohd Ruzairi Razali, 34, meninggal dunia pada 1 Mac dan 25 Februari lepas, masing-masing di Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.
 
"Seluruh warga kerja TNB bersedih atas pemergian ketiga-tiga mangsa. Kami kehilangan permata di kalangan warga kerja yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas," katanya.
 
Menurut beliau, pihak pengurusan TNB, selain memberi pertolongan segera kepada semua mangsa yang terlibat, akan terus membantu waris-waris dan keluarga masing-masing dalam menangani segala kesusahan dan trauma yang menimpa.-Bernama
 
 

No comments: