MALAYSIAKINI
Pemimpin-pemimpin tertinggi PAS mengkritik keputusan DAP untuk
memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi ekoran
kontroversi pelaksanaan hudud di Kelantan.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengingatkan supaya penyelesaian
segera diambil atau krisis sedia akan akan semakin meruncing.
"Datuk Seri Abd Hadi Awang (kanan) adalah presiden PAS.
"Oleh itu, sebarang tindakan memutus hubungan dengan beliau memberi
suatu impak yang buruk kepada PAS,” kata Mohamad, pemimpin kanan PAS
yang dilihat paling rapat dengan DAP.
"Jika penyelesaian segera tidak dapat dicapai, maka hubungan yang sedia
ada semakin runcing dan saya yakin penuh sekusut mana pun hubungan,
kalau ada kesungguhan untuk terus berada dalam Pakatan Rakyat, pasti
akan jumpa jalan penyelesaiannya," katanya.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi.
Mereka bagaimanapun mahu kekal dalam Pakatan.
Salahuddin: Bukan jalan terbaik
Naib
Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menyifatkan keputusan DAP itu "bukan
jalan penyelesaian terbaik" dan mewujudkan situasi "rumit dan sukar"
pada mereka.
"Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang adalah presiden saya dan presiden
lebih satu juta ahli PAS," kata Salahudin dalam kenyataannya.
"Saya masih yakin dan percaya melalui pengalaman suka duka bersama
Pakatan, sebesar mana dan sekusut mana pun masalah yang pernah di
depani, medan atau platform terbaik untuk berbincang dan membuat
keputusan secara kolektif ialah mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan.”
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar pula mempersoal
tindakan DAP itu memandangkan Hadi antara yang berhak mewakili parti itu
dalam mesyuarat bersama gabungan pembangkang.
"Ini bercanggah dengan prinsip bersama iaitu Majlis Presiden Pakatan Rakyat, diwakili oleh pimpinan tinggi parti.
“Jadi saya fikir ini satu yang tidak wajar dibuat sebab bagi saya
berlapang dada dan berjiwa besar," katanya dalam sidang medianya di
Parlimen.
Sehubungan itu MP Pokok Sena itu menyarankan Setiausaha Agung PAS Datuk
Mustafa Ali supaya menetap tarikh bagi kepimpinan PAS menentukan sikap
berhubung keputusan DAP itu.
Lulus enakmen
PAS kini mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen
bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud di Kelantan.
Minggu lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu meluluskan pindaan terhadap enakmen sedia ada.
Pindaan baru itu antara lain
memansuhkan peruntukan yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam –
sama ada ingin dibicarakan mengikut undang-undang syariah atau
undang-undang sivil.
Ia turut meminda peruntukan yang memberi pengecualian termasuk tidak
memotong tangan seseorang pencuri yang sudahpun cacat di sebelah tangan,
dan sekiranya pesalah itu memperoleh hak mengikut undang-undang ke atas
harta yang dicuri itu, sebelum penghakiman dibuat.
Rang Undang-undang baru ini juga membolehkan penuduh kes zina atau liwat
memberi keterangan melalui syahadah atau bayyinah (keterangan yang
jelas) dan kebal daripada hukuman jika kemudiannya ditentukan bahawa
tidak ada bukti yang cukup untuk membuktikan salah laku itu.
Pindaan keempat melibatkan kesalahan liwat antara suami dan isteri, yang
memperuntukkan hukuman ta'zir sekiranya didapati bersalah.
No comments:
Post a Comment