[EKSKLUSIF] SHAH
ALAM: Perhimpunan #KitaLawan pada hari ini tidak membabitkan PAS Pusat,
justeru tidak timbul soal pimpinan parti memberi sebarang arahan kepada
ahli bersabit tunjuk perasaan itu, kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man.
Menurut beliau tunjuk perasaan anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu
juga tidak pernah dibentangkan pada mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat.
"Program ni tidak dibuat atas nama Pakatan Rakyat, program ni
(dianjurkan) pemuda PKR jadi kita Pakatan pun tak tahu ada program tu.
Jadi program tu memang tak pernah dibawa ke mesyuarat pemimpin Pakatan,"
katanya kepada Antarapos.
Perhimpunan #KitaLawan petang ini sebagai bantahan terhadap keputusan
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lim tahun ke atas Ketua
Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas tuduhan meliwat bekas
pembantunya.
Perhimpunan itu diharamkan oleh polis setelah AMK dikatakan gagal
mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman untuk menganjurkan tunjuk
perasaan berkenaan.
Semalam, pejabat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan
beliau mengeluarkan sebarang kenyataan meminta ahli PAS turun menyertai
perhimpunan itu.
Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng juga memaklumkan PKR bahawa beliau
tidak akan menyertai tunjuk perasaan itu kerana mempunyai aturcara
membabitkan warga emas di Pulau Pinang.
Perkembangan itu menandakan sambutan suram rakan komponen Pakatan
Rakyat terhadap usaha PKR menggembeling penyokong untuk menyertai tunjuk
perasaan berkenaan di hadapan pusat membeli-belah Sogo Kuala Lumpur.
Tuan Ibrahim menegaskan ketidakhadiran pemimpin utama PAS dan DAP tidak harus disalah tafsirkan.
"DAP dan PAS tidak dimaklum awal, DAP pun buat kenyataan bukan untuk
tak hadir tapi mereka dah ada program. Macam PAS pun masing-masing dah
ada program dan jadual hari ini," kata beliau.
"Sebab kita tak dimaklum awal program tu. Tapi himpunan biasa yang
dibuat di tempat-tempat lain kita bagi dan ada ahli pergi tapi bukan
mobilisasi atas nama Pakatan Rakyat," katanya lagi.
Semalam Guan Eng mengarahkan semua ADUN Pakatan Rakyat di Pulau
Pinang untuk hadir di program menyampaikan bantuan kepada warga emas di
kawasan masing-masing.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, semua wakil rakyat terbabit,
termasuk beliau, perlu berada di kawasan masing-masing untuk mengagihkan
bantuan RM100 untuk warga tua negeri itu.
No comments:
Post a Comment