NGO Gabungan Bantah Cukai GST hadir bagi menyerahkan jemputan debat rakyat kepada Menteri Kewangan 2.
PUTRAJAYA: Tindakan pihak polis bantuan yang menghalang sekumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Gabungan Bantah Cukai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ingin masuk menyerahkan surat jemputan debat kepada Menteri Kewangan 2 telah menyebabkan kekecohan.
Kekecohan berlaku apabila salah seorang peserta NGO tersebut yang tidak berpuas hati dengan salah seorang polis bantuan yang menjerit dengan berkata “sila bercakap seorang-seorang”.
Apabila ditengking, peserta NGO itu tidak berpuas hati dan bertindak untuk menyerang polis tersebut. Namun keadaan dapat dikawal oleh polis bantuan lain yang berada di hadapan Pejabat Kementerian Kewangan itu.
Sebelum itu, NGO tersebut hadir untuk menyerahkan surat jemputan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Hassan Malek untuk berdebat dengan wakil Gabungan Bantah Cukai GST.
Debat Rakyat itu bertajuk “Adakah cukai GST memberi impak positif atau negatif ke atas rakyat Malaysia”.
Jurucakap NGO, Dr Jeyakumar berkata debat ini perlu untuk pihaknya mengutarakan beberapa persoalan mengenai kesan cukai GST dan ingin mengetahui maklum balas daripada Husni Mohamad dan Hassan Malek.
“Kita juga mahu memberikan peluang kepada rakyat biasa untuk menanyakan soalan mengenai Cukai GST,” kata Ahli Parlimen Sungai Siput itu.
Selain Dr Jeyakumar, turut hadir dalam penyerahan surat jemputan itu seperti Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan wakil NGO Azlan Awang.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata debat itu akan dianjurkan pada 17 Mac 2015 oleh portal pembangkang, Malaysiakini.
“Pemilihan Malaysiakini sebagai penganjur kerana kami merasakan media itu neutral. Debat itu dijadualkan akan bermula pada jam 8 malam,” katanya.
Tambah Dr Dzulkefly, surat jemputan itu telah diterima oleh wakil menteri yang merupakan Timbalan Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Perbendaharaan Malaysia, Suhaili Ahmad.
“Jadi kami kira debat ini telah diterima oleh Mohamad Hanadzlah. Mereka wajib hadir kerana sudah menerima jemputan daripada pihak kami,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Dr Dzulkefly sekiranya menteri jemputan debat itu tidak hadir, program debat akan tetap diteruskan.
“Kita akan teruskan juga debat itu walaupun menteri yang dijemput tidak hadir. Ini kerana debat mengenai GST sangat penting,” akhirinya.
No comments:
Post a Comment