MALAYSIAKINI
Seorang ibu bersama bayinya yang baru berusia lima hari, antara empat
maut dalam nahas jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer
59 Jalan Beluran-Telupid, di Beluran semalam.
Kemalangan kira-kira 2.15 petang itu melibatkan sebuah kereta Perodua
Myvi yang bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham berkata pemandu
kereta Perodua Myvi dikenali sebagai Ridzuan Basnu, 30, isterinya,
Noorlilah Masli, 25, serta ibu Ridzuan, Gaya Gudang, 50, maut di tempat
kejadian, manakala bayi perempuan itu meninggal dunia ketika menerima
rawatan di Hospital Duchess Of Kent Sandakan pada 8 malam.
Dua lagi penumpang kereta berkenaan iaitu anak lelaki pasangan suami
isteri terbabit, Ahmad Kidam, 4, serta adik Noorlilah, Mohamad Hazawan
Masli cedera parah dalam kemalangan tersebut.
Ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka
di Kampung Lidong selepas Noorlilah melahirkan bayinya di Hospital
Beluran, lima hari lepas.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda
dari arah Telupid itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan
lantas bertembung dengan Perodua Myvi itu, katanya kepada Bernama.
Menurutnya kejadian itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hancur teruk di
bahagian hadapan, manakala kereta Myvi turut tercampak ke sebelah kiri
jalan dan terbalik.
Katanya lelaki yang memandu kereta pacuan empat roda itu yang berusia 30
tahun dan penumpangnya, seorang wanita berusia 25 tahun hanya mengalami
cedera ringan.
Sivanathan berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda itu telah ditahan
untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama
No comments:
Post a Comment