Dengan dakwaan Datuk Kazim Elias menyebarkan hadis "roti jala dicelup kuah kari", mutfi Perlis menolak penceramah popular itu menyertai forum agama sempena keputeraan raja.
Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendedahkan "bukti" penolakan undangan kepada Kazim, yang pernah ditawar menganggotai Majlis Tertinggi Umno, di laman Facebook hari ini.
Dalam suratnya bertarikh 27 Februari, mufti itu mendakwa penceramah tersebut sering memetik hadis palsu.
"Jabatan ini tidak bersetuju dengan pemilihan panel Datuk Kazim Elyas (sic) kerana beliau sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu," surat itu dipetik.
Surat yang ditandatangani Dr Mohd Asri ditujukan kepada Senator Mohd Khalid Ahmad yang beralamat di pejabat menteri besar Perlis.
Jabatan Mufti Perlis menolak penceramah itu sebagai maklum balas kepada pihak penganjur forum perdana ehwal Islam anjuran RTM. Ia diadakan bersempena keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail yang ke-72.
Selain surat penolakan itu, Dr Mohd Asri juga memuatkan keratan buku Tuhan Sedang Menguji Kita karya Kazim yang menunjukkan ustaz berstatus 'selebriti' itu berkata nabi pernah menjamu "kurma dicelup tepung."
'Kenduri paling murah'
"Nabi Muhammad SAW pernah membuat kenduri yang paling murah. Jamuan yang disediakan hanyalah buah kurma yang dicelup dengan tepung. Tepung itu pula digoreng.
"Itulah kenduri Rasulullah SAW yang paling murah sekali.
"Manakala kenduri Rasulullah SAW yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari," imej keratan buku itu dipetik.
Dalam penjelasan tambahannya, Dr Mohd Asri berkata pihaknya tidak menyebut penceramah itu dihalang berceramah sebaliknya hanya tidak bersetuju Kazim menjadi panel forum itu.
Beliau turut kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan surat rasmi jabatannya itu.
Sementara itu, pengendali Facebook milik Kazim menasihatkan mufti Perlis supaya mengemukakan bukti dan tidak menuduh semata-mata.
"Ini apa cerita ini. Seorang mufti boleh keluar kenyataan seperti ini.
"Nasihat pengendali (Facebook) pada mufti ini, kemukakan bila DUKE mengeluarkan hadis palsu? Jangan main tuduh saja," kata pengendalinya, yang menggelarkan ustaz itu DUKE (Datuk Ustaz Kazim Elias).
"Jangan ambil daripada akaun Facebook palsu DUKE, Instagram atau Twitter palsu, kemudian jadikan hujah nak sekat DUKE."
No comments:
Post a Comment