Nurul Suhada (tengah) dihukum penjara selepas mengaku salah merompak seorang pengusaha butik pengantin.
KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal empat anak dihukum penjara enam tahun enam bulan selepas mengaku salah merompak berkumpulan dan bersenjata parang serta pistol, di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Nurul Suhada Jusoh, 27, didakwa bersama seorang lagi yang
masih bebas merompak pengusaha butik pengantin, Nor Asuwah Ibrahim, 48,
di rumah kedai di Kampung Landak, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di
sini, pada jam 10.05 malam, 21 Julai tahun lalu.
Dalam rompakan itu, tertuduh melarikan gelang emas berlian; gelang emas
tulisan jawi nama Asuwah; komputer riba; beg tangan yang dijual;
beberapa helai jubah; beg tangan Coach mengandungi resit dan RM150 serta
beg tangan Celline mengandungi kad pengenalan, Mykid, surat, buku cek,
cermin mata Bonia yang keseluruhannya bernilai RM20,000.
Pada prosiding itu, tertuduh merayu di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus
agar hukumannya diringankan kerana dia mempunyai anak kecil yang masih
bersekolah.
“Saya juga baru sahaja melahirkan anak keempat di dalam penjara, dua
bulan lalu dan sudah bercerai dengan suami pada 2013,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari bagaimanapun memohon
hukuman berat mengambil kira jenayah rompakan bersenjata yang semakin
berleluasa.
Mangsa turut memberitahu mahkamah, dia takut untuk membuka kedai pada waktu malam.
Kes rompakan tersebut juga disiarkan Sinar Harian, tahun lalu.
Dalam kejadian lalu itu, mangsa bersama anaknya yang berusia 10 tahun
berada di dalam kedai dan datang tertuduh bersama seorang lagi perempuan
dengan memakai telekung sembahyang bertanyakan barangan dan pakaian
pengantin.
Mereka mencuba pakaian dan perempuan tersebut keluar serta masuk semula
bersama seorang lelaki. Lelaki itu kemudian mengeluarkan sebilah pedang
dan pistol lalu mengacukan ke arah mangsa.
Mereka mengugut dan menyuruh mangsa membuka barang kemas yang dipakai.
Mangsa ketakutan, tertuduh kemudian membuka gelang yang dipakai Asuwah
sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta bersama barangan yang
dirompak dan disimpan di sebuah bilik di rumah inap di Kampung Air
Tawar, Cherang Ruku, Pasir Puteh.
No comments:
Post a Comment