UPSR Bocor
PUTRAJAYA - Seorang guru besar, dua guru dan seorang ejen insuran direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Dahlia Azmi di Mahkamah Majistret Putrajaya bermula hari ini 15 April hingga 18 April ini.
Mereka ditahan untuk siasatan di lokap Ibu Pejabat Polis Putrajaya dan dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya.
Semalam, polis menahan empat guru di Pulau Pinang dan Parit Buntar, Perak dalam satu operasi khas bermula pada 3.30 petang.
Polis turut merampas gajet komunikasi.
Seramai 10 individu telah diambil keterangan terdiri enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia, seorang wartawan dan tiga guru.
Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid menduduki peperiksaan itu pada Khamis manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan sebelum mereka mengambilnya pada Khamis juga.
LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat-kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, individu yang memegang jawatan sebagai guru besar dan salah seorang dari dua guru yang ditahan berkhidmat di sekolah yang sama.
Ketiga-tiga tenaga pengajar tersebut berkhidmat di sekolah di Pulau Pinang manakala ejen insurans yang ditahan menetap di Sentul, Kuala Lumpur.
Keempat individu terbabit ditahan dibawah Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan didakwa atas kesalahan mendedahkan dan menyampaikan rahsia rasmi dengan salah.
Kesemua suspek berdepan dengan hukuman penjara satu tahun minima dan tujuh tahun maksima jika disabit bersalah.
No comments:
Post a Comment