HAMPIR dua bulan selepas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas dari ruang udara timur Ukraine, Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) telah mengeluarkan laporan awal mengenai kejadian tersebut yang sedikit-sebanyak menjawab beberapa persoalan mengenai perkara sebenar yang telah menimpa pesawat malang tersebut.
Laporan tersebut telah mengesahkan MH17 berkecai di udara apabila ditembusi sejumlah besar objek berkelajuan tinggi dari luar pesawat berkenaan yang antara lain menjurus kepada faktor peluru berpandu sama ada yang dilepaskan dari permukaan atau pun udara.
Sukar untuk menafikan kesimpulan awal tersebut kerana ia berdasarkan beberapa fakta yang disumbangkan oleh kotak hitam pesawat, komunikasi pusat kawalan dan gambar bangkai pesawat yang terhempas.
Laporan awal ini kritikal kerana ia memberi petunjuk hala tuju dan fokus penyiasatan supaya pengumpulan bukti yang lebih terperinci dapat dilakukan untuk mensabitkan kesalahan kepada pihak yang bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu berkenaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa laporan awal DSB mengenai MH17 telah menarik perhatian terhadap kehilangan pesawat MH370 kerana setelah enam bulan berlalu masih tidak diketahui apa yang sebenarnya telah berlaku terhadap pesawat tersebut.
Kehilangan MH370 dianggap sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan awam kerana tiada petunjuk yang boleh digunakan untuk memudahkan penyiasatan.
Petunjuk yang ada hanyalah bersandarkan data komunikasi di antara pesawat MH370 dengan satelit Inmarsat dan itu pun bukan data komunikasi yang sempurna kerana tidak mampu menterjermah lokasi terakhir pesawat tersebut.
Berpandukan data yang tidak sempurna inilah pencarian ditumpukan di sebelah selatan Lautan Hindi yang mencakupi ratusan ribu kilometer (km) persegi dari segi keluasannya.
Malaysia pernah dituduh oleh segelintir kumpulan sama ada tidak berupaya, tiada kesungguhan atau cuba menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan MH370. Persepsi serong sedemikian timbul kerana kekangan dari segi maklumat penerbangan yang menyukarkan lagi pihak berkuasa menyalurkan berita sahih dan terkini kepada orang ramai.
Jika selepas enam bulan masih wujud tuduhan sedemikian rupa terhadap keupayaan dan keikhlasan Malaysia merungkai misteri MH370, maka iktibar daripada strategi yang diamalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memecah kebuntuan MH17 perlu digunakan sebagai panduan.
Komunikasi secara langsung di antara Najib yang mewakili Malaysia dengan ketua pemberontak Alexander Boradei adalah penuh risiko dalam arena geopolitik antarabangsa.
Tetapi demi untuk membuka laluan supaya mayat mangsa nahas dapat dikembalikan kepada keluarga masing-masing dan juga kotak hitam dapat diserahkan kepada pihak penyiasat antarabangsa, Najib sanggup mengambil pendekatan yang jarang digunakan oleh pemimpin negara lain. Telah terbukti pendekatan tersebut membuahkan hasil dan juga mentafsirkan kesungguhan kerajaan Malaysia.
Timbul kemusykilan mengapa selepas enam bulan masih tidak terdapat tanda bahawa MH370 telah terhempas di Lautan Hindi kerana langsung tidak ditemui serpihan atau pun tompokan minyak dari pesawat tersebut.
Berbeza dengan kejadian Air France AF447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada tahun 2009, terdapat serpihan pesawat yang terapung di permukaan walaupun bangkai di dasar lautan hanya ditemui selepas dua tahun pencarian.
Perlu ditegaskan lokasi udara terakhir AF447 diketahui dan pesawat tersebut berada pada laluan yang ditetapkan tetapi berbeza dengan MH370 bukan sahaja tidak diketahui kedudukan terakhir tetapi dipercayai telah melencong jauh dari laluan asal.
Terlampau banyak andaian terpaksa digunakan demi untuk menentukan kedudukan terakhir MH370. Umpamanya tidak diketahui ketika bila pesawat tersebut berpatah balik menuju arah selatan ke Lautan Hindi. Juga tidak diketahui laluan mana yang digunakan kerana terdapat ratusan laluan yang boleh diambil jika Lautan Hindi dijadikan sasaran tujuan.
Jika pencarian AF447 yang mempunyai data lengkap mengambil masa dua tahun maka sudah pasti pencarian MH370 akan mengambil masa yang lebih lama.
Tambahan pula keluasan pencarian AF447 hanya merangkumi 17,000 km persegi berbanding dengan 650,000 km persegi bagi kawasan pencarian MH370. Tambahan pula dasar Lautan Hindi adalah lebih mencabar bukan sahaja jauh terpencil tetapi juga kerana faktor kedalaman dan topografi akan lebih menyukarkan lagi tugas pencarian.
Kini pencarian MH370 telah memasuki fasa baharu kerana kaedah yang lebih teliti akan digunakan untuk memetakan dasar lautan kawasan berkenaan dan seterusnya melaksanakan pengukuran sonar yang dapat membantu mengesan objek buatan manusia.
Proses pencarian AF447 yang serupa juga digunakan selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil dan telah menelan belanja sebanyak RM80 juta. Kos tersebut ditanggung secara bersama oleh kerajaan Perancis, Air France sebagai pengendali dan Airbus sebagai pembuat pesawat.
Pencarian fasa terkini MH370 dianggarkan akan menelan kos sebanyak RM180 juta dan akan ditanggung secara bersama oleh Malaysia dan juga Australia. Dalam hal ini tanggungjawab yang telah dipamerkan oleh Australia amat mengagumkan kerana sanggup bersama-sama Malaysia dalam usaha pencarian untuk fasa yang lebih sukar dan mencabar.
Tiga kapal utama akan digunakan dalam pencarian terperinci iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery dan juga Fugro Equator. Perlu ditegaskan kos kapal Go Phoenix ditanggung sepenuhnya oleh Malaysia sementara pembiayaan kedua-dua kapal Fugro ditanggung secara bersama dengan Australia.
Menjadi harapan pencarian secara terperinci ini bakal memberi hasil kerana data terkini yang diperolehi telah mengecilkan kawasan pencarian utama yang berkeluasan 60,000 km persegi.
Apa yang diperlukan pada ketika ini adalah sokongan rakyat Malaysia kerana kritikan dan komen yang tidak berasas boleh menjejaskan usaha pencarian.
(*) PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM
No comments:
Post a Comment