MALAYSIAKINI
Berdepan pelbagai kritikan dari dalam dan luar parti, PKR menggerakkan
jentera mereka untuk memberi penerangan mengenai isu kemelut menteri
besar Selangor.
Pimpinan tertinggi PKR termasuk Ketua Umum Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim
akan menjelajah ke seluruh 56 Dewan Undangan Negeri Selangor bagi
menerangkan secara terus perspektif parti dan penjelasan mengenai isu
ini.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Malaysiakini, langkah itu diambil oleh biro politik selepas mesyuarat mereka kelmarin.
"Isu Selangor dah berlaku dan kita sedang berdepan satu kemelut. Jadi
pimpinan parti berpendapat satu siri penerangan lebih sistematik bagi
menerangkan kepada semua menurut perspektif parti.
"Anggota parti perlu lebih memahami bagaimana langkah yang dijalankan
pimpinan parti dan apakah strategi yang disusun kepimpinan," kata beliau
kepada Malaysiakini hari ini.
PKR dilaporkan hanya mencalonkan satu nama kepada Istana sebagai calon
menteri besar Selangor iaitu presiden mereka Datuk Seri Wan Azizah Wan
Ismail.
Istana sebelum ini melabel parti itu sebagai biadab dan derhaka kerana tidak menghantar lebih dari dua nama yang diminta.
PKR dan DAP kemudiannya memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Bagaimanapun Anwar dalam jawapan beliau kelmarin menegaskan akan
mengikut "konvensyen" sebelum ini dan dilaporkan mahu menghadap Sultan
bagi menjelaskan sendiri hal ini kepada baginda Tuanku.
Sementara itu, satu jawatankuasa bersama telah dibentuk selepas
mesyuarat di antara Anwar, Anggota Parlimen, ADUN dan sebahagian ketua
cabang PKR di Selangor.
Sumber menyatakan jawatankuasa peringkat negeri itu akan diketuai oleh
penyandang timbalan PKR Selangor Zuraida Kamaruddin dan disertai oleh
beberapa lagi pimpinan pusat yang terdiri dari anggota parlimen dan
beberapa ketua cabang.
Sumber tersebut turut menyatakan beberapa pimpinan negeri meluahkan
bantahan dan tidak dimasukkan dalam jawatankuasa bersama ini.
Hal itu bagaimanapun dinafikan Saifuddin yang menyatakan tiada sebarang
bantahan atau protes dibuat ketika mesyuarat peringkat biro politik
kelmarin atau peringkat negeri semalam.
"Tak timbul keputusan biro politik diprotes atau dibincangkan wakil Selangor.
"Kerana parti baru selesai pemilihan, jawatankuasa negeri masih belum
dilantik, tetapi sepertimana di Kelantan di mana pimpinan Kelantan
diberi peranan, begitu juga di Selangor, pimpinan negeri diberi
peranan," kata beliau.
Saifuddin turut menjangkakan akan mengambil masa beberapa minggu bagi menyelesaikan siri penerangan ini.
"Kalau ada (ahli) yang tidak bersetuju, kita akan terangkan kepada mereka," kata beliau.
No comments:
Post a Comment